Tarian piring atau dalam
bahasa Minangkabau disebut sebagai Tari Piriang, adalah satu jenis tari
yang berasal dari Sumatera Barat iaitu daripada masyarakat Minangkabau. Dikatakan sewaktu kemunculannya tarian piring ini
dipercayai telah wujud lebih daripada 800 tahun yang lalu. Tarian piring juga
telah berkembang ketika zaman pemerintahan Sri Wijaya, ini telah menyebabkan
tarian piring minangkabau ini telah berkembang negeri-negeri Melayu yang lain.
Selain itu, Tarian Piring Minangkabau dipercayai sebagai salah satu tarian ritual
oleh masyarakat Minangkabau iaitu satu upacara ritual untuk mengucapkan terima
kasih kepada dewa-dewa setelah mendapat hasil pertanian yang banyak. Upacara
ritual ini dilakukan dengan membawa sesaji yang berbentuk makanan yang kemudian
diletakkan didalam piring sambil melangkah dengan perlahan sambil melakukan
setiap gerakan yang lembut dan teratur.
Setelah kemasukan agama Islam ke Minangkabau, tradisi
tarian piring tidak lagi diamalkan sebagai satu upacara ritual untuk
mengucapkan rasa syukur kepada dewa-dewa, sebaliknya Tarian Piring Minangkabau
dijadikan sebagai salah satu alat hiburan ketika menyambut majlis-majlis
keramaian. Disamping itu tarian piring merupakan satu seni tarian masyarakat Minangkabau
yang masih diamalkan oleh masyarakat Minangkabau terutamanya di Negeri Sembilan.
Tarian ini memiliki gerakan yang menyerupai gerakan para
petani semasa mereka bercucuk tanam, menuai hasil tanaman dan sebagainya. Tarian
ini juga melambangkan rasa gembira dan syukur para petani setelah dapat menuai
hasil tanaman mereka. Tarian ini merupakan tarian gerak cepat dengan para
penari memegang piring ditapak tangan kiri dan kanan mereka. Setiap kali tarian
ini dipersembahkan ia akan diiringi oleh lagu yang dimainkan oleh alat muzik
rebana, rebab, gong, talempong dan saluang. Kadangkala piring-piring akan
dilontarkan ke udara ataupun dihempaskan ke atas tanah dan akan dipijak oleh
penari-penari tersebut. Bagi menampakkan lagi unsur-unsur estetika dan kejutan
penari-penari itu akan memijak piring-piring yang pecah itu tanpa rasa takut
dan sakit. Namun begitu dengan melakukan aksi tersebut mereka tidak mendapat
kecederaan yang serius mahupun sedikit luka.
Di Malaysia terutamnya di
Negeri Sembilan tarian piring Minangkabau banyak dipersembahkan ketika
majlis-majlis perkahwinan terutamanya bagi keluarga-keluarga berada, bangsawan
dan pembesar-pembesar negeri. Tarian ini biasanya dapat dilihat di daerah
Seremban, Kuala Pilah dan Rembau. Biasanya tarian ini dipersembahkan oleh
kumpulan-kumpulan tertentu sama ada dipersembahkan dengan memakai pakaian
menari yang lengkap ataupun dengan hanya memakai pakaian biasa sahaja. Sesetengah
persembahan akan dikenakan bayaran jika menjemput kumpulan tarian yang berada
luar daripada daerah mereka, setiap persembahan biasanya memerlukan masa 10-20
minit untuk melakukan tarian ini.
Selain itu, setiap majlis
perkahwinan atau majlis keramaian akan menjadi lebih meriah jika mengadakan
persembahan tarian piring ini. Namun begitu, sesetengah masyarakat berpendapat
tarian piring ini kurang sopan kerana ada percampuran antara penari lelaki dan
penari perempuan.Bagi mengatasi masalah tersebut tarian piring ini telah
ditarikan sepenuhnya oleh orang-orang perempuan sahaja. Disebabkan peristiwa
itu tarian piring pada masa sekarang banyak melibatkan penari-penari wanita
sahaja. Namun begitu, kaum lelaki juga masih terlibat dalam persembahan ini
terutamanya sebagai pemain alat-alat muzik sahaja disamping yang perempuan
sebagai penari.
PERJALANAN RAGAM TARIAN
PIRING MINANGKABAU
Sudah menjadi kebiasaan
setiap persembahan kesenian yang akan dipersembahkan perlu dimulakan dengan
persiapan yang sangat rapi dan teratur. Sebelum tarian piring Minangkabau
dipersembahkan ia memerlukan latihan yang mencukupi untuk membentuk kecekapan
penari sewaktu mereka menari. Para penari juga harus mempunyai latihan
pernafasan yang mencukupi agar pernafasan mereka tidak akan terganggu sewaktu
mereka mempersembahkan tarian piring ini di hadapan penonton. Menjelangnya hari
persembahan para penari tarian piring perlu memastikan semua peralatan yang
akan digunakan sewaktu persembahan berada dalam keadaan yang terbaik. Paling
utama ialah mereka perlu memastikan alat utama dalam tarian piring tersebut
iaitu piring yang akan mereka gunakan sewaktu persembahan adalah mencukupi dan
berada dalam keadaan yang baik. Sekiranya piring tersebut retak ataupun sumbing
ia perlu digantikan dengan piring yang baru. Ini bertujuan untuk memastikan
agar ia tidak membahayakan penonton dan yang lebih penting ialah penari itu
sendiri. Ketika ini juga para penari akan memastikan dan menentukan jumlah
piring yang akan digunakan sewaktu persembahan nanti.
Selepas itu, piring-piring tersebut akan diatur dalam
berbagai bentuk dan susunan dihadapan pengantin mengikut jumlah yang telah
ditetapkan oleh penari tarian piring tersebut. Pada masa yang sama penari sudah
bersiap sedia untuk menari dengan menyarungkan dua bentuk cincin khas iaitu
satu di jari kanan dan satu lagi di jari kiri penari. Kemudian penari-penari
tersebut akan memegang piring-piring tersebut.
Setiap tarian piring Minangkabau yang dipersembahkan akan diiringi
oleh muzik yang dimainkan oleh pemuzik yang menggunakan rebana, gong, talempong,
saluang dan rebab. Sebelum memulakan tarian piring penari akan melakukan sembah
pengantin sebanyak tiga kali sebagai tanda hormat kepada pasangan
pengantin tersebut. Cara melakukan sembah ialah dengan sembah pengantin tangan dihadapan, sembah pengantin tangan disebelah
kiri sembah pengantin tangan disebelah kanan.
Selepas selesainya tiga peringkat sembah pengantin
dilakukan, para penari tarian piring akan memulakan tariannya dengan mencapai
piring yang telah diletakkan di hadapan mereka serta mengayun-ayunkan tangan ke
kanan dan kiri mereka mengikut rentak muzik yang dimainkan. Penari kemudiannya
akan berdiri kembali dan mula memijak satu-persatu piring-piring yang tadi yang
telah disusun terlebih dahulu sebelum mereka memulakan persembahan. Mereka
memijak piring tersebut sambil menuju kearah pasangan pengantin yang berada
dihadapannya. Pada umumnya penari tarian piring akan memastikan semua piring yang
telah diatur akan dipijak oleh mereka. Setelah semua piring telah dipijak, penari
tarian piring ini akan mengundurkan langkahnya dengan memijak kembali
piring-piring tersebut. Mereka akan berjalan secara mengundur supaya tidak
membelakangkan pengantin.
Disamping itu, pada masa yang sama kedua-dua tangan para
penari akan berterusan dihayun ke kanan dan kiri sambil menghasilkan bunyi
“ting ting ting ting....”. Bunyi ini terhasil adalah disebabkan ketukan
jari-jari penari yang telah disarungkan cincing yang bersentuhan dengan bawah
piring. Selain itu, Kedua telapak tangan yang diletakkan piring akan
dipusing-pusingkan ke atas dan ke bawah seolah-olah penari-penari piring
tersebut sedang memusingkan piring-piring diatas kepala mereka.
Sesebuah tarian piring yang dipersembahkan akan berakhir
apabila semua piring yang telah diatur itu telah dipijak oleh para penari
piring. Selepas itu,para penari akan menutup persembahan tarian piring
minangkabau itu dengan melakukan sembah penutup atau sembah pengantin sekali
lagi. Sembah penutup juga diakhiri dengan tiga kali sembah kepada pengantin
dengan melakukan sembah seperti sembah
pengantin tangan sebelah kanan, sembah pengantin tangan sebelah kiri dan sembah
pengantin tangan sebelah hadapan.
By: Amin Bin Zahariman (BC121110010)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan