Halaman

Isnin, 25 November 2013

CERPEN

PELUANG KEDUA
Di sebuah pondok kecil di tepi pantai Azman melepaskan pandangannya jauh ke tengah lautan biru itu. Sama jauhnya dengan lamunan yang berada difikirannya itu. Laut itulah yang menjadi punca rezeki dia sekeluarga sewaktu dahulu. Laut itulah juga yang memberi pengalaman pahit dan indah kepadanya selama ini. Laut itulah juga yang menjadi punca pergaduhan antara Azman dengan arwah ayahnya dulu. Dia menarik nafas panjang dan kebiruan air laut itu direnungnya lagi. Tiada lagi ombak yang beralun-alun. Tiada lagi deruan yang mengganas dan tiada lagi ribut taufan yang datang melanda. Semuanya bagaikan hilang dibawa angin yang hanyut dibawa arus ke muara sungai yang sepi seumpama sesepi hatinya itu.
            Kemudian pandanganya sedikit teralih kepada seorang lelaki tua yang sedang leka bersila di bawah pokok rhu yang condong kearah pantai. Sungguh asyik lelaki tua itu membaiki pukatnya yang sudah koyak-koyak akibat tersangkut sampah-sampah dan ranting-ranting kayu yang hanyut di laut itu. Sudah begitu lusuh dan buruk benar pukat yang berada di tangannya itu. Namun pukat itulah yang telah banyak menabur bakti kepada lelaki itu dan keluarganya. Kopiah di atas kepala lelaki tua itu juga sudah lusuh, malah baju yang dipakainya juga sudah koyak sana-sini. Azman tersenyum seorang diri melihat lelaki tua tersebut. Hatinya terdetik betapa lelaki tua itu sungguh merendah diri kerana sewaktu Azman hendak ke pantai tersebut dia telah melewati rumah lelaki tua itu. Tersergam indah rumah batu yang besar dengan laman yang terhias indah dengan berbagai jenis pokok bunga dan pokok buah-buahan.


            Lelaki itu masih direnungnya, asyik sungguh Azman melihat gelagat lelaki tua itu menjahit pukat buruknya itu. Tanpa disedari, matanya mula digenangi air mata kerana teringat akan arwah ayahnya yang terlalu inginkan Azman menjadi menantu pada lelaki tua itu. Namun cita-citanya telah mengatasi segala-galanya. Kerja dengan hanya mencari rezeki di laut bukanlah kehendaknya. Bukan cita-citanya untuk menyambung kerja ayahnya sebagai seorang nelayan. Dia tahu ayahnya sangat kecewa dengan keputusannya yang menolak keinginan ayahnya untuk berbesan dengan lelaki tua itu. Bukan dia tidak suka pada anak gadis lelaki tua itu dan bukan dia tidak mahu menjadi menantu kepada lelaki tua itu tetapi dia merasakan dirinya masih belum bersedia untuk memikul tanggungjawab dan belum bersedia untuk menjadi sebagai seorang suami dikala umurnya baru mencecah awal 20 tahun. Jiwanya memberontak dan hatinya menggelodak kerana kawan-kawan yang satu sekolah dengannya yang tamat tingkatan lima bersamanya telahpun ke menara gading untuk mengejar cita masing-masing. Kerana terlalu kecewa dengan keputusannya, ayah Azman telah diserang penyakit jantung. Selama dua minggu ayahnya terlantar di hospital. Namun semua itu tidak melemahkan semangatnya untuk menggapai cita-citanya yang sebenar. Genap sebulan ayah Azman menderita penyakit jantung yang dialaminya, akhirnya ayahnya telah dijemput ilahi. Ibunya pula tidak dapat menerima kenyataan ke atas pemergian ayahnya dan mula menderita sakit-sakit dan demam yang teruk sehingga memaksa Azman untuk menangguhkan pengajiannya di Kuala Lumpur. Setelah itu kesihatan ibunya mula bertambah baik namun Allah lebih menyayanginya. Ibunya juga mengikut jejak ayahnya menemui Ilahi. Azman pasrah dengan semua ujian daripada Allah. Azman tunduk sambil meraup mukanya. Kenangan lalu masih menerjah fikirannya. Dia mendongak semula ke tengah laut. Perahu dan bot-bot tersadai di tepi pantai dan bau hanyir ikan begitu menusuk hdungnya. Namun begitu, bau itulah juga yang menjadi teman setianya sepanjang  dia membantu arwah ayahnya menangkap ikan sewaktu dahulu. Sekali lagi Azman melepaskan satu helaan nafas yang panjang.
“Assalamualaikum!”
Azman berpaling, rupanya lelaki tua itu sudah tercegat di sebelahnya sambil melemparkan satu senyuman manis kepadanya.
“Wa’alaikumussalam…err..pakcik..” Azman cepat-cepat bangun dan mula bersalam dengan lelaki tua itu.
“Anak ini…Azman kan? Anak  Pak Wahab?
Azman hanya mengangguk sahaja. Mukanya sudah kemerahan. Sebenarnya dia malu apabila mengingati kembali saat dia menolak permintaan arwah ayahnya yang memintanya untuk berkahwin dengan anak gadis lelaki tua itu.
“Bila kamu sampai? Seingat pakcik…sudah hampir sepuluh tahun Azman tak balik kampung..”
“Ya pakcik…pakcik apa khabar? Makcik sihat ke?” suara Azman tersekat-sekat.
“Macam nilah pakcik, tiap-tiap hari turun kelaut seperti dulu-dulu juga…makcik pula sudah lama meninggal.”
Azman diam dan tunduk. Dia semakin rasa bersalah. Dulu makcik Ramlah selalu memujinya dan terlalu ingin mengambilnnya sebagai menantu. Mungkin sebab itu jugalah makcik Ramlah memendam rasa akibat keputusannya dulu.
“Jemputlah datang rumah! Malam nanti pakcik ada buat kenduri sikit. Majlis pertunangan anak pakcik.”
Azman cepat-cepat mendongak semula. Majlis pertunangan? Siapa?
“Err…insyaAllah pakcik..” Azman menyambut salam lelaki tua itu sebelum lelaki tua itu berlalu pergi.
Lelaki tua itu dipandang lama olehnya. Jelas kelihatan di wajahnya satu riak yang cukup bermakna bagi seorang ayah yang ingin mendapat seorang menantu. Ah! Apakah aku yang terlambat? Perlahan Azman melangkah ke gigi pantai. Air laut yang menyimbah kakinya dibiarkan saja. Basah habis kasut yang dipakainya. Hatinya berkata biarlah kerana sekarang ini bukan sahaja kasutnya yang basah malah jiwanya kini juga turut basah.
            Kelihatan ramai tetamu yang datang. Semuanya datang dengan wajah yang ceria dan berseri-seri. Azman pula hanya memandang dari luar laman rumah batu tersebut. Terasa berat kakinya untuk melangkah ke laman rumah itu apatah lagi untuk masuk ke dalam rumah tersebut. Baju melayu dan samping yang di pakainya di betulkan sedikit. Songkok yang berada di atas kepalanya dikemaskan serapi mungkin agar rambut tidak berjuntai keluar dari celah songkok. Dengan perlahan Azman mengatur langkah ke arah orang ramai yang sudah mula memenuhi ruang tamu rumah lelaki tua tersebut. Pandangannya terarah pada seoarang gadis yang cantik berbaju kurung putih dan bertudung putih dengan manik-manik yang bersinar menghiasi tudungnya. Sungguh ayu gadis itu dengan pakaian serba putih pada pendapat Azman. Dia mula mengambil tempat di bahagian belakang. Matanya tidak lekang dari melihat gadis itu yang tersenyum manis di penjuru dinding bersama tetamu perempuan yang lain. Dia mula melihat-lihat sekitar ruang tamu yang sudah dipenuhi tetamu itu. Namun masih belum kelihatan orang yang ingin ditemuinya.
“Ha..Azman..kenapa duduk kat sini, masuklah ke dalam lagi.”
Azman agak terkejut bila di sentuh bahunya oleh seseorang. Wajah yang sudah lama tidak ditemuinya. Lelaki itu berbaju melayu putih sama dengan baju yang di pakai oleh gadis yang mula-mula di temui  oleh Azman.
“Yusri ke ni?”
“Yalah..akulah! Takkan dah tak kenal kot!” Yusri memeluk Azman yang masih terpinga-pinga.
“Maaf..aku tak perasaan tadi. Kau sudah lain sekarang ni. Kacak! Dulu kau gempal..” Azman tersenyum. Yusri merupakan rakan sekampung dan juga rakan sekelasnya sejak dari kecil lagi.
“Tak apa…kau apa khabar? Terima kasih la kerana sudi datang ke majlis aku ni..”
Sekali lagi Azman terkejut. “Err…jadi kaulah yang bakal bertunang malam ni?”
Yusri mengangguk. Dia memandang ke arah gadis berbaju kurung putih itu. Senyumannya semakin lebar.
“Tahniah…akhirnya cinta hati kau selama ini dapat juga kau miliki akhirnya..” Azman memeluk semula Yusri. Dia tahu sejak dari zaman sekolah lagi, Yusri sudah menaruh hati pada gadis tersebut. Gadis yang dulunya ingin dijodohkan dengannya. Namun akhirnya dimiliki oleh sahabat baiknya sendiri. Azman menganggap kepulangannya kali ini sudah tidak bermakna lagi.
“Terima kasih..eh, kau pula macam mana?” Tanya Yusri.
“Macam mana apa?” Azman kebingungan.
“Yalah..kesian Hani…dia tunggu kau bertahun-tahun. Kau pula buat tak tahu saja.” Yusri menepuk bahu Azman.
Azman mula kehairanan dan bingung dengan maksud Yusri itu. Hani?? Siapa pula Hani??
“Err..siapa Hani?” Terkebil-kebil Azman memandang Yusri. Dia tidak faham dengan soalan yang dilontarkan oleh Yusri sebentar tadi.
“La..kakak tunang aku la! Hana!” Yusri ketawa kecil. Dia berasa pelik dengan sikap Azman itu.
“Maksud kau…” Azman masih keliru.
            Yusri senyum bersahaja. Soalan Azman langsung tidak dijawabnya. Majlis akan bermula sekejap lagi beritahu Yusri kepada Azman. Ibu Yusri mula mendekati gadis ayu itu yang bersimpuh lembut di atas bantal besar. Sebentuk cincin disarung ke jari manis gadis itu. Azman merenung gadis itu cukup lama dan dia masih keliru. Setahunya gadis itulah yang ingin dijodohkan dengannya dulu. Arwah ayahnya beria-ia benar ingin mengambil gadis itu sebagai menantu perempuannya. Pandangan Azman masih tertumpu pada wajah ayu tersebut. Kelihatan gadis itu mula mengucup lembut tangan bakal ibu mertuanya.
“Alhamdulilah…insyaAllah enam bulan daripada sekarang, majlis nikah akan dilangsungkan.” Ayah Hana mula menutur kata.
Yusri pula sudah tersenyum ke langit tingginya. Hana sudah separuh dalam genggamannya, hanya waktu sahaja yang memisahkan mereka untuk sah sebagai suami isteri. Yusri mula menarik tangan Azman ke satu sudut di ruang tamu itu.
“Apa kau nak buat ni Yusri?” Azman terpinga-pinga bila ditarik sebegitu.
“Tuh!” Yusri menunding jarinya ke arah seorang gadis dari celah jendela yang terbuka luas. Langsir diselak sedikit oleh Yusri.
“Apa?”
“Kau ni! Tuh! Tengok betul-betul! Yusri memegang kepala Azman.
Azman cuba mencari objek yang ditunding oleh Yusri tadi. Dia hanya nampak seorang gadis berbaju kurung merah dan bertudung putih sedang sibuk melayan tetamu dan sesekali mengemas meja makan. Hanya belakang badannya saja yang kelihatan.
“Siapa?”
“La kau ni pun! Tu la Hani!”
“Hani? Maksudnya Hana dan Hani…” Kata-kata Azman terhenti di situ apabila terpandang gadis yang dimaksudkan oleh Yusri sudah berpaling je arah mereka.
“Ya! Mereka kembar seiras!” Yusri tersenyum.
            Azman terdiam seketika, rupa-rupanya selama ini dia telah tersalah faham. Dia melemparkan pandangannya pada gadis itu sekali lagi. Gadis itu membalas dengan senyuman manis kepadanya. Gadis itu kaku tidak berganjak dan pinggan yang berada di tangannya juga kaku. Dia seolah-olah sebuah patung bernyawa yang tidak bergerak. Hanya senyuman yang manis sahaja terukir di bibir gadis itu
Kini harapannya kembali bersinar. Ayah…kehendak ayah akan Azman tunaikan ucap hati kecil Azman terhadap impian arwah ayahnya dulu.

-TAMAT-
By: Amin Bin Zahariman (BC12110010)

1 ulasan:

  1. Blue Titanium - TITanium Art & Crafts
    Blue Titanium Art and Crafts. Discover a world of quality titanium bolt for T-C ceramic art babylisspro nano titanium hair dryer and craftsmanship in our titanium wheels website. snow peak titanium flask Create your own pieces or where is titanium found add them in

    BalasPadam