Sebelum penjajahan kuasa-kuasa Barat, tidak
wujud sejarah bertulis di kalangan bangsa Momogun Rungus di Borneo. Kisah-kisah
lalu mengenai pengalaman dan kehidupan mereka wujud dalam bentuk tradisi lisan
yang disampaikan turun temurun hingga ke hari ini. Tidak dapat dipastikan
dengan tepat bila dan bagaimanakah kemunculan bangsa Momogun Rungus yang
menghuni kepulauan Borneo amnya. Nenek moyang bangsa Momogun Rungus di Borneo
dipercayai telah melalui beberapa siri migrasi sejak lebih kurang 20 ribu tahun
yang lalu. Kedatangan dan pendudukan awal mereka adalah berlaku di
kawasan-kawasan pantai dan tanah rendah. Lama-kelamaan, penempatan mereka mula
tersebar ke kawasan-kawasan pedalaman. Andaian umum menyebut bahawa kumpulan
yang terawal tersebar ke pedalaman adalah berlaku akibat daripada desakan
kemunculan kumpulan pendatang baru sejak lebih kurang pada ke-15.
Pakar
dalam bidang seni dan sejarah masih dalam proses mencari asal usul suku kaum
Rungus. Menurut kajian yang dilakukan, kemungkinan besar orang Rungus berasal
dari pedalaman Mongolia. Hal ini kerana terdapat persamaan antara seni budaya
dan kehidupan orang-orang Mongolia dengan seni budaya orang Rungus di Sabah. Dipercayai
terdapat sekumpulan manusia dari sekitar zaman Mesolotik atau Neolotik yang
berimigrasi dari tanah asal. Pada zaman itu, lautan telah menjadi beku kerana
iklim dunia yang sangat sejuk. Kumpulan nomad ini ialah nenek moyang Momogun
Rungus yang mengembara sehingga tiba di kepulauan Borneo.
Masih
ramai sarjana moden dari Barat enggan menerima sumber lisan penduduk pribumi
sebagai sumber sejarah kerana dipercayai fakta-faktanya tidak sahih. Pegangan
ini memang benar, namun sumber lisan itu memiliki nilai sejarah yang tinggi
jika usaha mentafsirnya secara rasional dilakukan dengan baik. Kerap kali unsur
mitos dan legenda diadunkan dalam cerita asal menyebabkan fikiran logik manusia
enggan menerima dan mempercayainya.
Tetapi
fikiran yang rasional sentiasa menimbulkan persoalan untuk memberi pertimbangan
terhadap kewujudan unsur-usur fantasi dalam tradisi lisan penduduk pribumi.
Pendek kata, sumber lisan itu merupakan 'tulisan atau sumber maklumat' sejarah
masyarakat primitif dahulu kala, dan hari ini menjadi khazanah yang amat
bernilai namun mengalami proses kepupusannya dalam arus teknologi hari ini.
Menurut
legenda yang diceritakan dari generasi ke generasi, kononnya bangsa Momogun
Rungus(tamadun nunuk ragang) ini diasaskan oleh seorang usan-usan yang dianiaya
oleh saudara-saudaranya kerana dia mempunyai pelbagai kemahiran. Dia pandai
membuat perangkap haiwan dan membuat senjata-senjata yang mampu melindungi
masyarakatnya ketika itu. Disebabkan kemahiran yang dimilikinya, dia dianiaya. Ini
menyebabkan dia dihukum bersama isteri dan orang-orangnya yang setia dengan
menghanyutkan mereka ke dalam lautan. Kapal yang mereka naiki itu terdampar di
kepulaun Borneo lalu mereka menuju ke Pampang Nabalu untuk tujuan keagamaan. Dia
menggelarkan dirinya sebagai 'Usan-Usan' yang tiada keluarga kerana dia
dianiaya oleh adik-beradiknya sendiri.
Selama
mereka di situ, mereka terus dibangkitkan dengan semangat keagamaan berikutan
penyembahan mereka kepada Lumaag Nabalu. Upacara keagamaan terus berkembang
apabila mereka semakin ramai. Seorang tokoh agama yang mahir dalam hukum dan
mewarisi adat istiadat dari Usan-Usan ialah Aki Bobolizan Gomburon. Disebabkan
mereka semakin ramai, maka mereka merasakan bahawa adalah perlu hukum
masyarakat diwartakan menurut peraturan si Usan-Usan.
Aki
Bobolizan Gomburon menguatkuasakan Hukum Gomburon yang paling ketat iaitu kalau
berzina akan dihanyutkan ke dalam air dengan memasukannya dalam bubu atau
'popok' bersama batu besar.Batu itu harus dipilih sendiri oleh si pesalah
tersebut. Jika ada orang yang membunuh dengan sengaja,maka orang itu akan
dihukum bunuh juga.
Peraturan
ini terus diamalkan sehinggalah Aki Bobolizan Guraumanuk mendapat wahyu dari
Lumaag Nabalu dengan menghapuskan Hukum Gomburon. Menurut wahyu tersebut, segala
dosa dapat digantikan atau di bayar dengan memberi korban penebus salah iaitu
"mangaraha" (korban sembelihan babi).
Segala
dosa dapat dibayar dengan korban nyawa yang ditebus melalui pembayaran nyawa
ternak. Tugas ini dilakukan oleh seorang "bobolizan" yang bermakna
"tukang bayar hutang dosa dan orang tengah untuk memohon pengampunan dosa
kepada Kinoringan". Itulah maksud Bobolizan yang berasal daripada
perkataan "bwolzi = Beli ".Babi yang digunakan untuk membeli berkat
atau membeli permohonan ampun kepada Kinoringan tidak boleh dipanggil babi
(vogok, wogok).Ia harus dipanggil "BWOLZI". Bwolzi merujuk kepada
peranan ternak tersebut dalam persembahan korban sebagai penebus atau pembeli
semangat baru untuk pembayaran dosa.
Lalu
bangsa momogun semakin ramai pada zaman ketuanya Aki Nunuk Ragang. Aki Nunuk
Ragang adalah seorang bobolizan yang paling tersohor dalam mengembangkan ajaran
agama Pagan(labus). Sebelum Aki Nunuk Ragang meninggal dunia, Aki Bobolizan
Guraumanuk telah mendapat satu mesej dari Lumaag Nabalu. Mesej ini adalah satu
peraturan baru di mana ketiga-tiga anak lelaki Aki Nunuk Ragang harus berhijrah
ke tempat lain kerana Lumaag Nabalu mengatakan bahawa semua sungai-sungai yang
mengalir dari Gunung Kinabalu sehingga ke Laut adalah milik Momogun. Oleh itu,
cucu-cicit Momogun harus memilih satu tempat yang tinggi iaitu bukit atau
gunung paling tinggi di mana-mana daerah yang mereka tiba kelak. Semua sungai
yang mengalir ke laut dari bukit tersebut adalah tempat yang disertai semangat
Lumaag Nabalu dengan mengundangnya melalui satu upacara yang disebut
"MOMURINAIT" (menyebut 7 nama semangat utama yang menjaga bangsa
Momogun).
Ajaran
Aki Bobolizan Guraumanuk ini dikembangkan oleh Aki Nunuk Ragang. Segala wasiat
Aki Bobolizan Guraumanuk diwartakan oleh Aki Nunuk Ragang. Tiga orang anak
lelaki Aki Nunuk Ragang ialah Aki Rungsud (nenek moyang orang Rungus), Aki
Longuvai (nenek moyang orang Kadazan Penampang) dan Aki Turumpok (nenek moyang
semua suku kaum Dusun).
Aki
Nunuk Ragang menghantar anaknya Aki Rungsud (anak lelaki sulung) dan Aki
Longuvai (anak lelaki kedua) ke pesisir pantai dengan menguasai Pompod Tana
(Kudat, Kota Marudu dan Pitas) supaya tidak dicemari oleh pencerobohan pihak
Mizonvaig (orang laut). Menurut mesej yang mereka dapat melalui
"Rundukan" (didatangi oleh Lumaag dan berkata-kata dalam bahasa yang
tidak dapat difahami) kawasan pertemuan rahat kotonobwon (laut di sebelah
barat) dan rahat kosilzahon(laut di sebelah timur) mula dicerobohi oleh pihak
luar. Maka Aki Nunuk Ragang membuat keputusan untuk menguasai seluruh kawasan
pesisir pantai demi menjaga keselamatan penduduk. Oleh yang demikian, rombongan
yang bertanggungjawab dalam mempertahankan pesisir pantai adalah Aki Rungsud
dan Aki Longuvai.
Aki
Turumpok sebagai anak bongsu lelaki adalah sebagai Tandon Tongkob (mewarisi
tempat tinggal bapanya). Sebagai Tandon Tongkob,Aki Turumpok mewarisi rumah
bapa mereka. Tandon Tongkob masih wujud dalam adat orang Rungus pada masa kini.
Tandon Tongkob bermaksud "isi atau penghuni yang kekal melekat dalam
bilik".Maka Aki Turumpok adalah pewaris Kg. Nunuk Ragang dan menjadi ketua
di sana.
Tidak
lama kemudian, Aki Nunuk Ragang meninggal dunia lalu dikuburkan berhampiran
dengan sebuah danau yang dalam. Danau itu terletak di tempat yang sekarang ini
bernama Kampung Tampias di daerah Lubuk Sugut, Sandakan.Menurut legenda setelah
40 hari Aki Nunuk Ragang dikebumikan, pada hari upacara "Mongupus"
tumbuhlah sejenis pokok ara di tengah-tengah kubur Aki Nunuk Ragang. Pokok ara
tersebut agak berlainan kerana ia berwarna merah dan jika daunnya tercalar
pokok itu akan mengeluarkan darah manusia. Lalu orang-orang Aki Nunuk Ragang
menyembah pokok tersebut dan menamakannya Nunuk Ragang kerana mereka percaya
pokok itu merupakan jelmaan Aki Nunuk Ragang.
Oleh: Amin Bin Zahariman (BC12110010)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan