PELUANG KEDUA
Di
sebuah pondok kecil di tepi pantai Azman melepaskan pandangannya jauh ke tengah
lautan biru itu. Sama jauhnya dengan lamunan yang berada difikirannya itu. Laut
itulah yang menjadi punca rezeki dia sekeluarga sewaktu dahulu. Laut itulah juga
yang memberi pengalaman pahit dan indah kepadanya selama ini. Laut itulah juga
yang menjadi punca pergaduhan antara Azman dengan arwah ayahnya dulu. Dia
menarik nafas panjang dan kebiruan air laut itu direnungnya lagi. Tiada lagi
ombak yang beralun-alun. Tiada lagi deruan yang mengganas dan tiada lagi ribut
taufan yang datang melanda. Semuanya bagaikan hilang dibawa angin yang hanyut
dibawa arus ke muara sungai yang sepi seumpama sesepi hatinya itu.
Kemudian pandanganya sedikit teralih
kepada seorang lelaki tua yang sedang leka bersila di bawah pokok rhu yang
condong kearah pantai. Sungguh asyik lelaki tua itu membaiki pukatnya yang sudah
koyak-koyak akibat tersangkut sampah-sampah dan ranting-ranting kayu yang
hanyut di laut itu. Sudah begitu lusuh dan buruk benar pukat yang berada di
tangannya itu. Namun pukat itulah yang telah banyak menabur bakti kepada lelaki
itu dan keluarganya. Kopiah di atas kepala lelaki tua itu juga sudah lusuh,
malah baju yang dipakainya juga sudah koyak sana-sini. Azman tersenyum seorang
diri melihat lelaki tua tersebut. Hatinya terdetik betapa lelaki tua itu
sungguh merendah diri kerana sewaktu Azman hendak ke pantai tersebut dia telah
melewati rumah lelaki tua itu. Tersergam indah rumah batu yang besar dengan
laman yang terhias indah dengan berbagai jenis pokok bunga dan pokok
buah-buahan.
Lelaki itu masih direnungnya, asyik
sungguh Azman melihat gelagat lelaki tua itu menjahit pukat buruknya itu. Tanpa
disedari, matanya mula digenangi air mata kerana teringat akan arwah ayahnya
yang terlalu inginkan Azman menjadi menantu pada lelaki tua itu. Namun
cita-citanya telah mengatasi segala-galanya. Kerja dengan hanya mencari rezeki
di laut bukanlah kehendaknya. Bukan cita-citanya untuk menyambung kerja ayahnya
sebagai seorang nelayan. Dia tahu ayahnya sangat kecewa dengan keputusannya
yang menolak keinginan ayahnya untuk berbesan dengan lelaki tua itu. Bukan dia
tidak suka pada anak gadis lelaki tua itu dan bukan dia tidak mahu menjadi
menantu kepada lelaki tua itu tetapi dia merasakan dirinya masih belum bersedia
untuk memikul tanggungjawab dan belum bersedia untuk menjadi sebagai seorang
suami dikala umurnya baru mencecah awal 20 tahun. Jiwanya memberontak dan
hatinya menggelodak kerana kawan-kawan yang satu sekolah dengannya yang tamat
tingkatan lima bersamanya telahpun ke menara gading untuk mengejar cita
masing-masing. Kerana terlalu kecewa dengan keputusannya, ayah Azman telah
diserang penyakit jantung. Selama dua minggu ayahnya terlantar di hospital.
Namun semua itu tidak melemahkan semangatnya untuk menggapai cita-citanya yang
sebenar. Genap sebulan ayah Azman menderita penyakit jantung yang dialaminya,
akhirnya ayahnya telah dijemput ilahi. Ibunya pula tidak dapat menerima
kenyataan ke atas pemergian ayahnya dan mula menderita sakit-sakit dan demam
yang teruk sehingga memaksa Azman untuk menangguhkan pengajiannya di Kuala
Lumpur. Setelah itu kesihatan ibunya mula bertambah baik namun Allah lebih
menyayanginya. Ibunya juga mengikut jejak ayahnya menemui Ilahi. Azman pasrah dengan
semua ujian daripada Allah. Azman tunduk sambil meraup mukanya. Kenangan lalu
masih menerjah fikirannya. Dia mendongak semula ke tengah laut. Perahu dan
bot-bot tersadai di tepi pantai dan bau hanyir ikan begitu menusuk hdungnya.
Namun begitu, bau itulah juga yang menjadi teman setianya sepanjang dia membantu arwah ayahnya menangkap ikan
sewaktu dahulu. Sekali lagi Azman melepaskan satu helaan nafas yang panjang.
“Assalamualaikum!”
Azman
berpaling, rupanya lelaki tua itu sudah tercegat di sebelahnya sambil
melemparkan satu senyuman manis kepadanya.
“Wa’alaikumussalam…err..pakcik..”
Azman cepat-cepat bangun dan mula bersalam dengan lelaki tua itu.
“Anak
ini…Azman kan? Anak Pak Wahab?
Azman
hanya mengangguk sahaja. Mukanya sudah kemerahan. Sebenarnya dia malu apabila
mengingati kembali saat dia menolak permintaan arwah ayahnya yang memintanya
untuk berkahwin dengan anak gadis lelaki tua itu.
“Bila
kamu sampai? Seingat pakcik…sudah hampir sepuluh tahun Azman tak balik kampung..”
“Ya
pakcik…pakcik apa khabar? Makcik sihat ke?” suara Azman tersekat-sekat.
“Macam
nilah pakcik, tiap-tiap hari turun kelaut seperti dulu-dulu juga…makcik pula
sudah lama meninggal.”
Azman
diam dan tunduk. Dia semakin rasa bersalah. Dulu makcik Ramlah selalu memujinya
dan terlalu ingin mengambilnnya sebagai menantu. Mungkin sebab itu jugalah
makcik Ramlah memendam rasa akibat keputusannya dulu.
“Jemputlah
datang rumah! Malam nanti pakcik ada buat kenduri sikit. Majlis pertunangan
anak pakcik.”
Azman
cepat-cepat mendongak semula. Majlis pertunangan? Siapa?
“Err…insyaAllah
pakcik..” Azman menyambut salam lelaki tua itu sebelum lelaki tua itu berlalu
pergi.
Lelaki
tua itu dipandang lama olehnya. Jelas kelihatan di wajahnya satu riak yang
cukup bermakna bagi seorang ayah yang ingin mendapat seorang menantu. Ah!
Apakah aku yang terlambat? Perlahan Azman melangkah ke gigi pantai. Air laut
yang menyimbah kakinya dibiarkan saja. Basah habis kasut yang dipakainya.
Hatinya berkata biarlah kerana sekarang ini bukan sahaja kasutnya yang basah malah
jiwanya kini juga turut basah.
Kelihatan ramai tetamu yang datang.
Semuanya datang dengan wajah yang ceria dan berseri-seri. Azman pula hanya
memandang dari luar laman rumah batu tersebut. Terasa berat kakinya untuk
melangkah ke laman rumah itu apatah lagi untuk masuk ke dalam rumah tersebut.
Baju melayu dan samping yang di pakainya di betulkan sedikit. Songkok yang
berada di atas kepalanya dikemaskan serapi mungkin agar rambut tidak berjuntai
keluar dari celah songkok. Dengan perlahan Azman mengatur langkah ke arah orang
ramai yang sudah mula memenuhi ruang tamu rumah lelaki tua tersebut.
Pandangannya terarah pada seoarang gadis yang cantik berbaju kurung putih dan
bertudung putih dengan manik-manik yang bersinar menghiasi tudungnya. Sungguh
ayu gadis itu dengan pakaian serba putih pada pendapat Azman. Dia mula
mengambil tempat di bahagian belakang. Matanya tidak lekang dari melihat gadis
itu yang tersenyum manis di penjuru dinding bersama tetamu perempuan yang lain.
Dia mula melihat-lihat sekitar ruang tamu yang sudah dipenuhi tetamu itu. Namun
masih belum kelihatan orang yang ingin ditemuinya.
“Ha..Azman..kenapa
duduk kat sini, masuklah ke dalam lagi.”
Azman
agak terkejut bila di sentuh bahunya oleh seseorang. Wajah yang sudah lama
tidak ditemuinya. Lelaki itu berbaju melayu putih sama dengan baju yang di
pakai oleh gadis yang mula-mula di temui
oleh Azman.
“Yusri
ke ni?”
“Yalah..akulah!
Takkan dah tak kenal kot!” Yusri memeluk Azman yang masih terpinga-pinga.
“Maaf..aku
tak perasaan tadi. Kau sudah lain sekarang ni. Kacak! Dulu kau gempal..” Azman
tersenyum. Yusri merupakan rakan sekampung dan juga rakan sekelasnya sejak dari
kecil lagi.
“Tak apa…kau
apa khabar? Terima kasih la kerana sudi datang ke majlis aku ni..”
Sekali
lagi Azman terkejut. “Err…jadi kaulah yang bakal bertunang malam ni?”
Yusri
mengangguk. Dia memandang ke arah gadis berbaju kurung putih itu. Senyumannya
semakin lebar.
“Tahniah…akhirnya
cinta hati kau selama ini dapat juga kau miliki akhirnya..” Azman memeluk
semula Yusri. Dia tahu sejak dari zaman sekolah lagi, Yusri sudah menaruh hati
pada gadis tersebut. Gadis yang dulunya ingin dijodohkan dengannya. Namun
akhirnya dimiliki oleh sahabat baiknya sendiri. Azman menganggap kepulangannya
kali ini sudah tidak bermakna lagi.
“Terima
kasih..eh, kau pula macam mana?” Tanya Yusri.
“Macam
mana apa?” Azman kebingungan.
“Yalah..kesian
Hani…dia tunggu kau bertahun-tahun. Kau pula buat tak tahu saja.” Yusri menepuk
bahu Azman.
Azman
mula kehairanan dan bingung dengan maksud Yusri itu. Hani?? Siapa pula Hani??
“Err..siapa
Hani?” Terkebil-kebil Azman memandang Yusri. Dia tidak faham dengan soalan yang
dilontarkan oleh Yusri sebentar tadi.
“La..kakak
tunang aku la! Hana!” Yusri ketawa kecil. Dia berasa pelik dengan sikap Azman
itu.
“Maksud
kau…” Azman masih keliru.
Yusri senyum bersahaja. Soalan Azman
langsung tidak dijawabnya. Majlis akan bermula sekejap lagi beritahu Yusri
kepada Azman. Ibu Yusri mula mendekati gadis ayu itu yang bersimpuh lembut di
atas bantal besar. Sebentuk cincin disarung ke jari manis gadis itu. Azman
merenung gadis itu cukup lama dan dia masih keliru. Setahunya gadis itulah yang
ingin dijodohkan dengannya dulu. Arwah ayahnya beria-ia benar ingin mengambil
gadis itu sebagai menantu perempuannya. Pandangan Azman masih tertumpu pada
wajah ayu tersebut. Kelihatan gadis itu mula mengucup lembut tangan bakal ibu
mertuanya.
“Alhamdulilah…insyaAllah
enam bulan daripada sekarang, majlis nikah akan dilangsungkan.” Ayah Hana mula
menutur kata.
Yusri
pula sudah tersenyum ke langit tingginya. Hana sudah separuh dalam
genggamannya, hanya waktu sahaja yang memisahkan mereka untuk sah sebagai suami
isteri. Yusri mula menarik tangan Azman ke satu sudut di ruang tamu itu.
“Apa
kau nak buat ni Yusri?” Azman terpinga-pinga bila ditarik sebegitu.
“Tuh!”
Yusri menunding jarinya ke arah seorang gadis dari celah jendela yang terbuka
luas. Langsir diselak sedikit oleh Yusri.
“Apa?”
“Kau
ni! Tuh! Tengok betul-betul! Yusri memegang kepala Azman.
Azman
cuba mencari objek yang ditunding oleh Yusri tadi. Dia hanya nampak seorang
gadis berbaju kurung merah dan bertudung putih sedang sibuk melayan tetamu dan
sesekali mengemas meja makan. Hanya belakang badannya saja yang kelihatan.
“Siapa?”
“La
kau ni pun! Tu la Hani!”
“Hani?
Maksudnya Hana dan Hani…” Kata-kata Azman terhenti di situ apabila terpandang
gadis yang dimaksudkan oleh Yusri sudah berpaling je arah mereka.
“Ya!
Mereka kembar seiras!” Yusri tersenyum.
Azman terdiam seketika, rupa-rupanya
selama ini dia telah tersalah faham. Dia melemparkan pandangannya pada gadis
itu sekali lagi. Gadis itu membalas dengan senyuman manis kepadanya. Gadis itu
kaku tidak berganjak dan pinggan yang berada di tangannya juga kaku. Dia
seolah-olah sebuah patung bernyawa yang tidak bergerak. Hanya senyuman yang
manis sahaja terukir di bibir gadis itu
Kini
harapannya kembali bersinar. Ayah…kehendak ayah akan Azman tunaikan ucap hati
kecil Azman terhadap impian arwah ayahnya dulu.
-TAMAT-
By: Amin Bin Zahariman (BC12110010)
By: Amin Bin Zahariman (BC12110010)