Halaman

Ahad, 12 Januari 2014

PROVOKASI DALAM PENULISAN MENGGUGAT KEDAULATAN NEGARA


Berdasarkan apa yang di bincangkan didalam program sembang kopi yang bertajuk “PROVOKASI DALAM PENULISAN MENGGUGAT KEDAULATAN NEGARA” pada 19 April 2013 boleh dibuat beberapa kesimpulan atau ulasan tentang tajuk yang di bincangkan oleh tiga orang panel jemputan iaitu En. Khairudin, En. Syarian Syah dan saudara Juhar Harun. Ulasan yang boleh disimpulkan ialah provokasi mempunyai banyak keburukan. Provokasi juga di maksudkan sebagai fitnah atau hasutan dan provaksi juga adalah sesuatu perkara yang mampu mendorong kepada perasaan marah, amarah atau kepada melakukan perkara-perkara negatif.
Peristiwa 01 Mac 2013 iaitu peristiwa serangan pengganas Sulu di Lahad Datu yang telah menggemparkan seluruh negara baru-baru ini. Peristiwa ini boleh di anggap sebagai detik hitam kepada negara ini selepas berlakunya peristiwa rusuhan kaum yang berlaku pada 13 Mei 1969. Setiap peristiwa hitam yang berlaku di negara ini telah banyak dirumitkan lagi dengan provokasi yang dilakukan oleh pihak atau individu yang tidak bertanggungjawab terutamanya di dalam penulisan yang disebarkan melalui media massa seperti sistem pesanan ringkas(sms) dan facebook. Sebagai contoh peristiwa serangan Lahad Datu, banyak sms yang berkaitan perkembangan semasa dan pergerakan semasa pengganas Sulu telah disebarkan kepada orang ramai. Kebanyakkan maklumat yagg di sebarkan adalah tidak benar dan tidak mempunyai bukti yang kukuh oleh pihak tertentu dengan sengaja bagi menakut-nakutkan masyarakat setempat dan seterusnya boleh menggugat keselamatan negara.
Selain itu, provokasi melalui sms banyak menjadi punca kepada setiap peristiwa hitam yang menimpa rakyat di seluruh negara. Ini kerana mereka yang menerima maklumat-maklumat yang tidak tepat daripada pihak yang tidak bertanggungjawab, dan seterusnya boleh membuatkan sesiapa yang menerima sms tersebut mulai takut. Sebagai contoh, peristiwa serangan di Lahad Datu banyak maklumat yang tidak tepat dan yang boleh menakutkan orang ramai telah di hantar menggunakan sms.
Dismping itu, provokasi juga mungkin akan dapat memberi peluang kepada penceroboh untuk melancarkan serangan terhadap negara. Penceroboh mungkin akan menggunakan provokasi dalam mengelirukan orang ramai dan juga pihak berkuasa. Ini akan membuatkan atau akan mencetuskan kekecohan jika mereka menyebarkan maklumat yang salah kepada orang ramai. Apabila semua orang berada dalam kekalutan ini akan memberi peluang kepada penceroboh untuk melancarkan serangan. Dengan hanya menggunakan provokasi mereka mungkin akan dapat melancarkan serangan terhadap negara dan mungkin akan membunuh ramai orang gara-gara orang ramai mudah mempercayai sesuatu perkara atau maklumat yang belum pasti dan sahih terutamanya yang di hantar melalui sms.
Wartawan yang tidak bertauliah juga menjadi salah satu faktor kepada tercetusnya provokasi yang tidak tepat terhadap sesuatu kejadian terutamanya peristiwa di Lahad Datu. Ini kerana mereka lebih mementingkan populariti bagi menarik minat orang ramai berbanding untuk menyampaikan maklumat yang benar. Mereka ini akan menokok tambah maklumat yang sedia ada untuk lebih menarik perhatian orang ramai. Bagi mereka populariti lebih penting daripada orang ramai mendapat maklumat yang benar-benar tepat. Disebabkan segelintir wartawan yang tidak bertauliah yang menyebarkan provokasi yang tidak tepat boleh membuatkan sesuatu keadaan itu bertambah buruk.

Oleh itu, akibat provokasi semua keadaan akan menjadi lebih panik jika orang ramai terus mempercayai sesuatu maklumat disampaikan tanpa menyiasat kesahihannya terlebih dahulu. Sebagai contoh, Universiti Malaysia Sabah cawangan Sandakan terpaksa ditutup gara-gara penyebaran provokasi yang tidak benar oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Ini kerana kita lebih mudah untuk terus mempercayai sesuatu maklumat yang diterima berbanding menyiasat terlebih dahulu.  Kesimpulannya kita harus menyiasat terlebih dahulu tidak kira apa-apa maklumat yang diterima terlebih dahulu, agar ia tidak mencetuskan kekeliruan kepada orang ramai kelak.
By: Amin Bin Zahariman (BC12110010)

Si Cinta dan Si Persahabatan


Cinta dan sahabat... dua perkara yang saling berkaitan di antara satu dengan lainnya. Antara cinta dengan persahabatan mampukah anda membayangkan persahabatan tanpa cinta? atau cinta tanpa persahabatan?
Persahabatan dan cinta adalah teman baik kerana dimana ada cinta, persahabatan selalu ada disampingnya dan dimana persahabatan berada, cinta selalu tersenyum ceria dan tidak pernah meninggalkan persahabatan.
.........................
Pada suatu hari, persahabatan mula berfikir bahawa cinta telah membuatkan dirinya tidak mendapat perhatian lagi kerana persahabatan menganggap cinta lebih menarik daripada dirinya.. hemmmm...? Seandainya tidak ada cinta mungkin aku akan menjadi lebih terkenal, dan lebih banyak orang yang memberi perhatian kepadaku.. Fikir si persahabatan.
Sejak itu, persabatan mulai memusuhi cinta.
Ketika cinta bermain bersama persahabatan seperti selalu, persahabatan akan menjauhi cinta. Apabila cinta bertanyakan kenapa persahabatan menjauhi dirinya, persahabatan hanya tersenyum dan akan beredar pergi meninggalkan cinta.
Sejak itu, kesedihan pun menghampiri cinta dan cinta tidak sanggup menahan air matanya dan menangis. Kesedihan hanya dapat termangu memandang cinta yang kehilangan teman baiknya. Beberapa hari tanpa cinta, persahabatan mulai bergaul rapat dengan kecewa, putus asa, kemarahan dan kebencian.
Persahabatan mulai hilang sifat manisnya dan teman-teman yang lain mulai tidak menyukai persahabatan. Persahabatan mulai dijauhi dan tidak lagi bergaul dengan teman-teman karibnya itu. Walaupun persahabatan cantik, namun sifatnya mulai memuakkan. Persahabatan mulai menyesali keadaannya, dan saat itulah kesedihan melihat persahabatan dan kesedihan menyampaikan apa yang dialami oleh persahabatan kepada cinta. Kini persahabatan sedang suka dalam duka.
Dengan segera cinta berlari untuk mendapatkan persahabatan. Saat persahabatan melihat cinta menghampirinya, dengan air mata yang berlinang persahabatan pun mengungkapkan seribu kekesalannya kerana telah menjauhi cinta selama ini. Dipendekkan cerita, persahabatan dan cinta kembali menjadi teman baik. Persahabatan kembali kepada peribadi yang menyenangkan dan cinta sudah mampu kembali senyum ceria. Semua orang yang melihat kedua-dua teman baik itu kembali kepada asalnya tersenyum gembira dan menganggap semua itu anugerah dalam kehidupan.
Mampukah persahabatan tanpa cinta? Dan mampukah cinta tanpa persahabatan?
Ada sesetengah orang yang cuba untuk memisahkan persahabatan dengan cinta kerana mereka berfikir, kalau persahabatan sudah disulami dengan cinta pasti akan menjadi sulit. Perkara ini mungkin terjadi diantara mereka yang mengalami percintaan dalam sebuah persahabatan. Persahabatan merupakan bentuk hubungan yang indah antara manusia, dimana cinta hadir untuk memberikan senyuman dan mewarnai persahabatan. Tanpa cinta, persahabatan mungkin akan diisi dengan kekecewaan, marah, benci dan banyak perkara-perkara lain yang akan membuatkan persahabatan tidak lagi indah. Berhentilah membina jurang diantara cinta dan persahabatan dan biarlah mereka tetap menjadi teman yang baik.
Seharusnya dengan ada cinta, persahabatan akan lebih berseri. Dimana ada persahabatan disitu ada cinta dan dimana ada cinta disitu ada persahabatan. Buat teman-teman yang sedang menjalin persahabatan, penuhilah persahabatanmu dengan cinta dan berikanlah yang terbaik untuk sahabatmu.
Buat teman-teman yang sedang dilanda krisis dalam persahabatan janganlah menyalahkan cinta. Cubalah perbaiki persahabatanmu dengan cinta kerana cinta akan menutupi segala kesalahan dan akan membuat segala yang tidak mungkin akan menjadi mungkin.
Buat teman-teman yang belum mengerti erti persahabatan, cubalah untuk memulai sebuah persahabatan. Dengan persahabatan, ianya akan membuatkan kita semakin dewasa. Buanglah sikap ego dan belajar untuk mengerti..
By: Brainiker Anak Telajan (BC12110022)


Pendidikan Jambatan Kehidupan


Pendidikan adalah gerbang menuju kehidupan yang lebih baik dengan memperjuangkan hal-hal terkecil hingga hal-hal terbesar yang normalnya akan dilalui oleh setiap manusia. Pendidikan adalah bekal untuk mengejar semua yang diinginkan oleh seseorang dalam kehidupannya sehinggakan tanpa pendidikan, apa yang diimpikannya akan menjadi sangat sukar untuk diperolehi.

Faktanya, memang tidak semua orang yang berjaya dalam berpendidikan, tetapi jika dilakukan perbandingan,orang yang berpendidikan adalah lebih banyak berjaya daripada orang yang tidak pernah mendapatkan pendidikan, baik pendidikan formal ataupun bukan formal. Pendidikan adalah alat untuk mengembangkan diri, mental, cara berfikir dan juga kualiti diri seseorang.

Jika seseorang yang telah lengkap dengan pendidikan masih juga tidak mampu untuk mendapatkan apa yang diinginkan, bagaimana pula dengan mereka yang tidak dibekali ilmu? Logikanya sudah pasti mereka akan lebih payah untuk mendapatkan apa yang diimpikan dengan tujuan untuk mendapatkan taraf kehidupan yang lebih baik. Proses kehidupan ini sebenarnya memerlukan teori, dan dengan pendidikanlah  teori tersebut boleh diterjemahkan dalam kehidupan seseorang individu.

Apa pun alasannya, setiap orang tetap memerlukan pendidikan. Meskipun pendidikan tidak menjamin kejayaan seseorang, namun pendidikan akan menjadikan anda lebih berkualiti daripada yang tidak mampu untuk mendapatkan pendidikan, sehingga anda akan lebih berpeluang untuk mendapatkan apa yang anda cita-citakan kerana pendidikan merupakan alat terpenting untuk merealisasikan semua impian anda.
By: Brainiker Anak Telajan (BC12110022)



KEMERIAHAN TAMU GADANG


UNIVERSITI MALAYSIA SABAH,25 NOVEMBER 2013. Perasmian Tamu Gadang sempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) kali ke-15 telah diadakan di padang kawad UMS yang baru siap dibina Oktober lalu. Tamu Gadang telah berlangsung selama 5 hari iaitu bermula dari 21-25 Noverber. Pelbagai program yang telah dianjurkan oleh pihak UMS untuk memeriahkan lagi majlis tersebut. UMS juga telah menjemput selebriti-selebriti antaranya Heliza Helmi, Akim Ahmad, Felix Agus dan ramai lagi. Selain itu, pelbagai aktiviti yang dijalankan dalam kalangan mahasiswa antaranya ialah persembahan silat, UMS got talent yang disertai oleh mahasiswa. Melalui program ini mampu mahasiswa dapat membuka peluang kepada  mahasiswa-mahasiswi yang berbakat dalam bidang seni persembahan seperti deklamasi sajak, syair, sketsa pendek dan lain-lain lagi. Johan bagi pertandingan tersebut telah mendapat RM500, naib johan RM300 dan tempat ketiga mendapat RM200. Bukan itu sahaja, di tamu gadang juga telah membuka khemah-khemah yang mewakili setiap kolej kediaman seperti khemah untuk kolej kediaman E, Indah Permai, dan juga khemah bagi pelajar dari Sekolah Perubatan (SPU). Pelajar SPU telah membuka khemah dimana pengunjung yang datang boleh merawat kesihatan tubuh badan mereka dengan hanya RM1. Ramai pengunjung terutamanya mahasiswa UMS yang pergi memeriahkan lagi tamu gadang sempena Majlis Konvokesyen UMS kali ke-15.

By: Nur Hawani Binti Ya’kob (BC12110124)

SESI FOTOGRAFI DI TENOM

By: Nur Hawani Binti Ya'kob (BC12110124)














Anugerah Festival Filem


Baru-baru ini Sekolah Sengajian Seni Universiti Malaysia Sabah telah mengadakan Anugareah Festival filem 2013. Hampir keseluruhan pelajar sekolah pengajian seni telah membantu dalam menjayakan festival tersebut termasuklah ketiga-tiga program iaitu program seni kreatif, program seni visual dan program seni muzik. Antara filem yang dipertandingakan ialah Tanduo, Mengayau, Syahmat, dan banyak lagi. Filem yang memenangi anugerah Festival Sepanggar ialah Filem Tanduo. Saya telah menonton filem Tanduo yang diadaptasikan dari peristiwa hitam yang menimpa kampung Tanduo di Lahad Datu.
Sejarah lama kini berulang. Malaysia dikejutkan dengan berita kekecohan di negeri Sabah disebabkan pencerobohan di Kampung Tanduo,Lahad Datu, Sabah oleh tentera diraja Kesultanan Sulu. Kumpulan penceroboh yang dikenali sebagai Tentera Diraja Kesultanan Sulu datang dari Selatan Filipina dan dianggarkan terdiri daripada 200-400 orang dan keseluruhan daripada mereka mempunyai senjata. Disitulah bermulanya peperangan di Tanduo yang telah merosakkan harta benda, meragut nyawa dan meninggalkan kesan dalam diri pnduduk di Lahad Datu.
          Setelah tiga minggu bertolak ansur dengan pengganas Sulu dari Selatan Filipina, pasukan keselamatan semalam melancarkan serangan besar-besaran menerusi ops Daulat terhadap mereka yang berkubu di Kampung Tanduo. Serangan tiga peringkat bermula dengan pengeboman lokasi pengganas menggunakan tiga pesawat pejuang dan diikuti dengan serangan menggunakan mortar sebelum menghantar tentera masuk untuk mengesan pengganas.
          Melalui Filem Tanduo ini juga jelas menunjukkan yang terdapat kesan buruk melalui peperangan ini yang telah meragut nyawa dan merosakkan harta benda. Mereka sanggup berjuang walaupun nyawa jadi taruhannya. Selain itu, visual dalam filem tanduo juga sangat menarik terutama sekali adegan tembak menembak. Lokasi lakonan mereka juga sesuai dan menarik.

By: Nur Hawani Binti Ya’kob (BC12110124)

SENI WARISAN DIKIR BARAT (ARTIKEL KUMPULAN)

DIKIR BARAT
Dikir Barat adalah suatu seni tradisional yang paling digemari oleh masyarakat Melayu di Kelantan. Ianya wujud di kalangan masyarakat biasa di kampung-kampung dan pinggir bandar. Di dalam persembahan Dikir Barat terdapat satu kumpulan yang diketuai oleh seorang Tukang karut dan Tok Juara (jogho). Mereka akan mengarut sambil berbalas-balas pantun dan diikuti oleh awak-awak sebagai suara latar dengan suara yang kuat dan lantang. Dikir barat ini boleh dipersembahkan sebagai hiburan atau pun dipertandingkan. Permainan ini biasanya dimainkan oleh masyarakat di musim menuai padi dan juga di majlis perkahwinan. Pertandingan selalunya diadakan oleh persatuan-persatuan belia tempatan, badan-badan kerajaan ataupun orang-orang tertentu untuk mengutip wang. Dikir Barat adalah permainan yang baru jika dibandingkan dengan teater tradisional yang lain. Perkembangannya sukar diatasi kerana ianya sering menerima perubahan dari bentuk persembahannya dari masa ke semasa mengikut perkembangan zaman.
Perkataan Dikir ialah hasil dari dua kombinasi seni iaitu Dikir dan pantun atau dikir dan karut. Pengertian “Karut” itu sendiri ialah dari istilah mengarut dalam bentuk pantun atau syair. Jadi Dikir Barat, Dikir Karut, Dikir pantun dan Dikir Syair adalah sama ertinya. Walaubagaimanapun di Kelantan ianya lebih terkenal dengan Dikir Barat dan di Selatan Thai dengan Dikir Karut.
Asal usul dikir barat dipercayai berasal dari tiga tempat iaitu Selatan siam, Pulau Tebu, dan Ciptaan Pak Leh Tapang. Dikir Barat dari Selatan Siam diperkatakan tentang asal-usul Dikir Barat. Ada yang mengatakan ianya berasal dari Selatan Siam. Sebenarnya Dikir Barat ini yang lebih terkenal dengan nama Dikir Karut dibawa dari Negeri Siam ke Negeri Kelantan. Mengikut orang-orang Kelantan, perkataan Barat ini bermakna Selatan Siam. Ini tidak dapat dinafikan kerana pada suatu ketika dahulu Negeri Kelantan ini pernah diperintah oleh Kerajaan Siam. Rakyat daripada kedua dua buah negeri ini selalu berulang-alik dan dengan secara langsung Dikir ini dibawa ke sini dan diterima pula oleh masyarakat. Ketika ianya dibawa ke Kelantan ianya adalah dalam bentuk Dikir dan di sana juga ianya ditambah dengan pantun-pantun dan diubahsuai dari segi persembahan dan loghatnya sesuai dengan keadaan sekeliling dan suasana tempatan. Manakala, sejarah terbentuknya dikir barat yang berasal dari Pulau Tebu ini kerana pengasasnya ialah Husain Mok Nab Lombong yang berasal dari sana. Sewaktu beliau memperkenalkan Dikir Barat, ramai orang menganggap Dikir Barat sebagai satu hasil seni yang baru kerana iramanya boleh disesuaikan dengan irama yang telah sedia ada seperti Rebana Besar.
Selain itu, dikir barat ciptaan dari Pak Leh Tapang diambil sempena nama beliau kerana kemahirannya dalam dikir barat. Pak Leh Tapang atau nama sebenarnya Haji Mat Salleh bin Hj. Ahmad berasal dari Kampung Tapang, Kota Bharu. Beliau telah mengakui sendiri yang Dikir Barat ini sebenarnya berasal dari Selatan Siam. Beliau telah mengubahkan permainan ini dengan menambahkan pantun-pantun di dalamnya. Jadi sebelum itu, ketika Dikir Barat dibawa ke Kelantan ianya adalah dalam bentuk Dikir tanpa pantun. Semasa pemerintahan Jepun, beliau pernah dipanggil untuk meriwayatkan sesuatu dengan cara berpantun. Masa itu juga ada satu kumpulan berdikir yang diketuai oleh Jaffar Wakaf Mek Zainab yang memperkenalkan Dikir Barat di kampungnya. Awak-awaknya terdiri daripada orang-orang Melayu Barat (Selatan Siam). Mereka melagukan lagu-lagu yang dibawa dari Selatan Siam dan Pak Leh Tapang pula yang mengubah dan menambahkan dengan pantun-pantun untuk menyedapkan lagi dikir barat.
Kebiasaanya, satu pasukan Dikir Barat terdiri daripada seorang Tukang karut , seorang juara dan beberapa orang awak-awak (Selalunya antara 15 ke 30 orang). Tukang Karut merupakan orang yang paling penting dalam satu-satunya pasukan dikir barat. Tugas Tukang Karut yang paling penting sekali ialah berpantun dan bersyair. Pantun-pantun dan syair itu didendangkan dengan cara spontan mengikut seleranya. Maka idea-idea, isi-isi puisi itu, bahasa dan persoalan yang dikemukakan tanpa berfikir dua kali. Selain itu, Juara pula merupakan orang kedua penting dalam satu pasukan Dikir Barat. Tugasnya ialah berdikir sebelum Tukang karut mengarut. Hanya kadangkala, juara juga terpaksa mengarut iaitu di waktu Tukang Karut belum tiba (biasanya di awal permainan) , tapi masanya tidaklah lama, Juara berdikir sambil duduk di sepanjang permainan, tetapi Tukang Karut mendendangkan karutnya sambil berdiri. Seterusnya, Awak-awak pula ialah kumpulan orang berdikir dalam satu-satu permainan Dikir Barat. Kebiasaannya awak-awak ini terdiri daripada muda mudi belasan tahun. Pada praktiknya orang dewasalah yang lebih ramai menjadi awak-awak.
Gelaran awak-awak ini mengambil sempena dari nama kumpulan nelayan yang turun ke laut dalam sebuah perahu di bawah jagaan seorang ketua yang dipanggil “Jeragan” jadi keadaan ini disesuaikan dengan pelakon awak-awak dalam permainan Dikir Barat yang di bawah jagaan ketua mereka, Juara.

Dikir Barat merupakan satu seni budaya yang menjadi wajah dan cermin jiwa sesuatu bangsa terutama bagi masyarakat di Kelantan. Kegiatan atau persembahan seni budaya di kalangan rakyat ialah puncak kepada corak fikiran, kehidupan, usaha dan pengalaman harian rakyat. Seni budaya dipertahankan sebagai warisan tetapi seni budaya juga menghadapi cabaran-cabaran zaman untuk mengalami perubahan.  

By:     Amin Bin Zahariman (BC12110010)
          Brainiker Anak Telajan (BC12110022)
          Nor Amiza Binti Abdul Wahab (BC12110102)

        Nur Hawani Binti Ya’kob (BC12110124)







SERVIS PENGHANTARAN


Semester 1 sesi 2013/2014 bakal berakhir. Siswa dan siswi terpaksa menempuh peperiksaan akhir sebelum bercuti panjang. Pelbagai gelagat dan reaksi dapat dilihat pada wajah setiap pelajar. Mungkin ada yang tersenyum gembira kerana tempoh peperiksaan mereka tamat awal daripada yang sepatutnya dan mungkin juga ada yang terpaksa pulang lewat dari rakan-rakan lain. Ketika inilah pelbagai  risalah dan iklan servis penghantaran mula diedarkan untuk menarik perhatian para pelajar. Hal ini merupakan fenomena biasa bagi pelajar di Universiti Malaysia Sabah. Lazimnya, pelajar UMS sendiri turut menyediakan perkhidmatan servis penghantaran bagi mendapatkan duit lebih untuk menampung perbelanjaan di kampus. Servis penghantaran ini menyediakan perkhidmatan menghantar para pelajar ke lapangan terbang bagi pelajar yang menggunakan kapal terbang untuk pulang ke kampung. Para pelajar cenderung untuk menggunakan servis penghantaran ini kerana harganya lebih berpatutan daripada menggunakan teksi. Harga yang ditawarkan bagi setiap servis penghantaran adalah dibawah 50 ringgit berbanding teksi yang harganya lebih mahal dan kira-kira 50 ringgit bagi setiap penghantaran. Oleh itu, servis penghantaran yang sedia ada sememangnya mampu membantu pelajar untuk meringankan kos pelajar untuk pulang ke kampung.

By: Nor Amiza Binti Abdul Wahab.

BC 12110102

Penggali Intan...


Teater Penggali Intan naskah Kirdjomulyo akan dipentaskan di Dewan Resital Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 28 Disember 2014. Pengarah bagi pementasan teater kali ini ialah Muhammad Fazlisyam yang merupakan pelajar tahun 3 seni kreatif kluster teater. Pementasan teater penggali intan ini merupakan kerjasama daripadan pelajar tahun 2 dan tahun 3 seni kreatif kluster penulisan dan teater. Dalam pementasan ini pelajar telah didedahkan dengan corak dan budaya kerja berpasukan. Barisan-barisan teknikal merupakan penggerak bagi setiap persembahan teater yang bakal dipentaskan. Badan-badan inilah yang bertanggungjawab untuk menyediakan pentas, busana, penataan cahaya dan 'sound system' bagi setiap pementasan. Kerjasama daripada semua ajk merupakan kunci kejayaan bagi sesebuah pementasan. Teater penggali intan karya Kirdjomulyo mengangkat tema yang ringan tetapi cukup menyentuh hati iaitu kemiskinan dan sifat tamak dalam diri seorang pemuda. Teater ini mengisahkan tentang seorang pemuda yang berusaha mencari intan untuk membuka mata masyarakat yang memandang rendah kepadanya. Pemuda ini juga mahu membalas dendam kepada kekasihnya yang meninggalkannya kerana kemiskinan hidupnya. Namun, semua ini menemui jalan buntu apabila intan yang di perolehinya telah dicuri. Persoalannya,siapakah pencuri intan tersebut? Marilah sama-sama kita saksikan pementasan teater penggali intan pada 28 Disember 2013.

By : Nor Amiza Binti Abdul Wahab.

BC 12110102















MEDAN PERTEMPURAN!!!


Peperiksaan akhir merupakan medan penentu kepada kejayaan bagi setiap pelajar dan mahasiswa dan mahasiswi yang berada di alam pembelajaran. Medan pertarungan baru sahaja bermula bagi siswa dan siswi Universiti Malaysia Sabah (UMS) iaitu pada 30 Disember 2013. Tempoh ujian akhir ini berlangsung hampir 3 minggu bermula dari tarikh yang ditetapkan oleh pihak Bahagian Perkhidmatan Akademik (BPA). Dalam tempoh peperiksaan ini berlangsung, para pelajar telah menggunakan masa yang ada dengan sebaik-baiknya untuk mengulangkaji pelajaran. Anugerah Dekan merupakan sasaran utama bagi setiap pelajar. Namun, untuk mendapatkan anugerah tersebut memerlukan komitmen dan pengorbanan yang jitu dari setiap pelajar. Berjayakah siswa dan siswi Universiti Malaysia Sabah (UMS) melepasi sasaran mereka pada tahun ini? Selamat bertempur.

By: Nor Amiza Binti Abdul Wahab.

BC 12110102





BELAJAR & BERIADAH


Pada 20 Disember lalu, pelajar Sekolah Pengajian Seni (SPS) telah mengadakan lawatan sambil belajar di Taman Pertanian,Tenom Sabah. Program ini melibatkan pelajar tahun 2, program seni kreatif kluster penulisan. Program ini telah berlangsung selama 3 hari 2 malam. Tujuan utama program ini ialah untuk merehatkan minda pelajar dan merapatkan lagi hubungan diantara para pelajar. Pelbagai aktiviti menarik dan santai telah disusun sepanjang lawatan pelajar disana. Pelajar telah didedahkan dengan teknik untuk mengambil gambar dengan betul iaitu teknik fotografi oleh pensyarah mereka, Encik Addley Bromeo Bainus. Pelajar dibenarkan untuk melawat sekitar taman dan mengambil gambar sebanyak mungkin mengikut teknik yang telah diajarkan oleh pensyarah mereka. Selain itu juga, para pelajar telah diterapkan dengan semangat budaya kerja dalam pasukan dan mereka telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk menyiapkan tugasan yang diberikan. Setiap kumpulan haruslah mencipta 'yell' mereka sendiri dan 'yell' yang paling kreatif akan dikira sebagai pemenang. Aktiviti sukaneka juga turut diadakan seperti tiup gula-gula dalam tepung dan belon air. Semua aktiviti yang dijalankan ini memerlukan kerjasama dalam setiap anggota kumpulan. Hal ini membuktikan bahawa program ini bukan sahaja bertujuan untuk hiburan namun dapat memupuk semangat budaya kerja dalam diri pelajar dalam keadaan yang santai tetapi berkesan. Oleh itu, program seperti ini haruslah diteruskan supaya para pelajar dapat merehatkan minda mereka setelah penat belajar dan mampu menaikkan semangat pelajar untuk kembali bersemangat dalam  menimba ilmu.





By: Nor Amiza Binti Abdul Wahab

BC 12110102




ULASAN FILEM “TANDUO"

Pada 16 dan 17 Disember 2013 yang lepas, Sekolah Pengajian Seni dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah telah menganjurkan satu Festival Skrin Digital yang telah bertempat di Theatrete Ahmad Nisfu, Sekolah Pengajian Seni (SPS). Sebanyak 18 buah filem telah ditayangkan dalam tempoh dua hari festival berlangsung. Setiap filem yang ditayangkan ini mempunyai kekuatannya yang tersendiri. Pelbagai jenis filem telah ditayangkan pada festival ini seperti cerita seram, cinta, aksi dan komedi. Filem-filem yang ditayangkan ini merupakan hasil ciptaan dan idea daripada para pelajar-pelajar tahun tiga Sekolah Pengajian Seni itu sendiri. Namun begitu, setiap filem yang ditayangkan mempunyai kekuatan dan kelemahannya yang tersendiri. Daripada kesemua daripada 18 filem yang ditayangkan salah satu daripadanya iaitu filem “Tanduo” telah menarik perhatian saya. 
Berdasarkan pemerhatian saya, cerita Tanduo ini berjaya menarik minat saya adalah disebabkan beberapa faktor. Antaranya ialah cerita ini menceritakan kembali peristiwa yang berlaku di Kampung Tanduo dimana ia merupakan peristiwa Negara dikejutkan dengan serangan pihak Sulu. Cerita ini sedikit sebanyak telah menggambarkan peristiwa yang berlaku di Kampung Tanduo semasa pihak musuh melancarkan serangan.
Faktor yang kedua ialah, semangat juang yang tinggi dalam melindungi tanah air daripada serangan musuh. Di dalam filem Tanduo ini telah berlaku satu pertempuran di antara anak-anak muda Kampung Tanduo dengan pihak Sulu. Pertempuran berlaku disebabkan pihak musuh telah menangkap salah seorang daripada penduduk setempat. Tanpa mempedulikan nyawa mereka sendiri, anak-anak muda ini sanggup mempertaruhkan nyawa mereka untuk menyelamatkan sahabat mereka daripada pihak musuh disamping mempertahankan tanah air mereka.
Jalan ceritanya yang begitu menarik telah membuatkan ramai pelajar-pelajar Universiti Malaysia Sabah telah datang untuk menonton filem tersebut, sehinggakan ada penonton yang terpaksa berdiri semasa menonton filem tersebut. Selain itu, filem Tanduo ini telah berjaya menaikkan semangat pelajar-pelajar untuk melindungi tanah air mereka.


By: Amin Bin Zahariman (BC12110010)

KEHANGATAN FESTIVAL FILEM 2013


Kehangatan Festival Skrin Digital yang telah berlangsung selama dua hari di Sekolah Pengajian Seni, Universiti Malaysia Sabah yang bertempat di Theatrete Ahmad Nisfu pada 16 dan 17 Disember lalu telah menarik ramai orang datang untuk menonton setiap filem yang dipertandingkan. Selain itu, festival ini juga turut mendapat kerjasama daripada Universiti Malaysia Sabah. Festival filem ini telah melibatkan pelajar-pelajar dari Sekolah Pengajian Seni (SPS). Sebanyak 18 buah filem telah dipertandingkan pada kali ini. Penyertaan ini merupakan yang tertinggi dalam sejarah festival skrin digital Universiti Malaysia Sabah sejak festival ini mula-mula dianjurkan. Filem-filem yang dipertandingkan ini mempunyai kekuatannya yang tersendiri. Pelbagai jenis yang ditayankan pada festival ini, antaranya ialah cerita seram, aksi, cinta dan komedi. Filem-filem yang ditayangkan dalam festival ini adalah hasil daripada idea dan rekaan pelajar-pelajar tahun tiga daripada Sekolah Pengajian Seni sendiri. Festival ini bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada para pelajar dalam bidang perfileman. Hal ini demikian kerana, industri perfileman hari ini memerlukan anak-anak muda yang berbakat dalam bidang ini bagi mewarnai industri seni negara. Persoalannya, Filem manakah yang bakal memenangi anugerah yang dipertandingkan dalam Festival Skrin Digital pada tahun ini?


By: Amin Bin Zahariman (BC12110010)