Halaman

Selasa, 29 Oktober 2013

Mimpi


Semestinya yang datang itu cumalah keinginan,
Waktu berehat begini usahlah dibicarakan.
Angin menolak,
Cuaca mendung,
Angin laut menolak lembut,
Meluruskan getar fikiranku yang berliku,
Berjalan di pasir,
Menghidu laut pagi,
Aku sendiri di sini,
Menyelam dan berendam,
Melepasi kisah yang payah,

Namun,
Di situ namaku di laung,
Bergetar dan bergema,
Cuba mengumpul segala keupayaan,
Aku terbangun kembali,
Sedarlah,
Masuklah kembali ke alam diri yang telah jauh,
Sedarlah yang matahari telah lama mengintai,
Lalu letaklah jiwa dan rasa di hamparan realiti.
Oleh: Nur Hawani Binti Ya’kob (bc12110124)




Ahad, 27 Oktober 2013

BULAN BAHASA KEBANGSAAN 2013

Dewan Bahasa Dan Pustaka, 26 Oktober. Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah telah menganjurkan program sempena bulan bahasa yang melibatkan pelajar-pelajar Universiti Malaysia Sabah dan juga pelajar dari Universiti Teknologi Mara bertempat di 1 Borneo Hypermall. Pelbagai aktivit menarik telah dijalankan semasa program berlangsung seperti berbalas pantun, sajak, nyayian, syair dan juga tarian tradisional. Selain itu juga, penonton yang hadir juga di uji dengan soalan-soalan yang berkaitan dengan Bahasa Kebangsaan. Penonton yang menjawab dengan betul akan diberikan hadiah sebagai tanda penghargaan. Program ini sememangnya menarik dan mampu memupuk minat golongan muda dan masyarakat untuk mencintai bahasa kebangsaan serta mendedahkan masyarakat tentang warisan silam seperti syair, pantun dan gurindam yang semakin dilupakan. Oleh itu, marilah kita bersama-sama semarakkan bahasa kebangsaan kerana di situ letaknya identiti kita.

By: Nor Amiza Binti Abdul Wahab (BC12110102)


SUKAN MASSA UMS

Universiti Malaysia Sabah. 27 Oktober 2013 hari ini merupakan hari kedua Sukan MASSA dipertandingan. Sukan futsal merupakan salah satu acara yang mendapat sambutan pada kali ini. Perlawanan futsal ini dipertandingkan di Kompleks sukan Ums dan hanya terbuka kepada mahasiswa Ums sahaja. Sejak pukul lapan pagi pasukan yang bertanding telah memenuhi gelanggang berkenaan untuk pendaftaran perlawanan. Keadaan begitu meriah kerana sambutan daripada mahasiswa untuk kali ini begitu menggalakan. Semangat kesukanan setiap pasukan begitu tinggi untuk memenangi perlawanan. Tiada insiden kekecohan dalam kalangan pemain mahupun penyokong ketika perlawanan berlangsung. Segalanya berjalan dengan lancar. Bagi pasukan yang berjaya melangkah ke pusingan yang seterusnya kita ucapkan tahniah dan bagi pasukan yang tersingkir jangan terus mengalah kerana sukan Massa akan diadakan lagi pada masa hadapan. Majulah Sukan Untuk Negara...
By: Brainiker Anak Telajan [BC12110022]

Ahad, 20 Oktober 2013

TAHAP KEBERSIHAN CAFE DI UNIVERSITI MALAYSIA SABAH

Universiti Malaysia Sabah, 19 Oktober 2013. Tahap kebersihan di Kolej Kediaman semakin teruk. Sikap pelajar yang suka membiarkan sampah diatas meja makan menyebabkan keadaan kafe kelihatan seolah-olah tidak terurus dan kotor. Pelajar sepatutnya bertindak dengan lebih bijak dan tidak seharusnya meninggalkan plastik bungkusan diatas meja kafe selepas makan. Hal ini akan mengundang bau yang kurang senang dan menyebabkan kehadiran lalat serta tikus di kawasan kafe. Hal ini dikhuatiri akan menyebabkan berlakunya masalah keracunan makanan kepada para pelajar kelak. Sekirannya masalah ini dibiarkan berlarutan, ia akan membawa imej yang buruk untuk Universiti Malaysia Sabah dan juga Kolej Kediaman itu sendiri. Hal ini demikian kerana, persekitaran yang kotor akan membawa perspektif buruk terhadap kampus kita sendiri. Kebersihan mencerminkan peribadi seseorang individu. Oleh itu, para pelajar sepatutnya bertindak dengan lebih matang dan membuang plastik makanan setelah selesai makan. Kebersihan kafe di Kolej Kediaman adalan tanggungjawab bersama.
By: Nor Amiza Binti Abdul Wahab (BC12110102)


SORAK BOLA KAFE AB

Universiti Malaysia Sabah. 19 Oktober 2013. Semalam merupakan perlawanan separuh akhir Piala Malaysia diantara pasukan Sarawak dengan Pahang. Bahang perlawanan pada malam tersebut turut dirasai oleh penyokong kedua-dua pasukan yang sedang menuntut di Universiti Malaysia Sabah. Peyokong kedua-dua pasukan telah membanjiri kafe kampung AB seawal pukul 8.30 malam bagi memberi semangat terhadap pasukan kesayangan masing-masing. Namun keputusan yang sukar diterima oleh penyokong Sarawak apabila mengalami kekalahan 1-3 semasa bertandang ke stadium Pahang. Amat sukar  diterima kekalahan pasukan kesayangan saya ini. Namun apakah daya inilah perlawanan. Setiap yang menang pasti akan ada yang kalah. Walaubagaimanapun, semangat kesukanan penyokong kedua-dua pasukan tetap tinggi. Tidak timbul unsur pergaduhan dan keputusan tetap diterima dengan hati terbuka. Saya berharap keputusan kedua separuh akhir yang berlangsung di stadium Kuching akan memihak kepada pasukan Ngap Sayot dan seterusnya mampu mara ke final Piala Malaysia 2013. ENCANG SARAWAK ENCANG!!!!! Semangat ini untuk Bujang Senang.
By: Brainiker Anak Telajan (BC12110022)


PADA KETIKA ITU.....

Universiti Malaysia Sabah, 19 Oktober 2013. Suasana di Kampung E pada setiap malam minggu dimeriahkan dengan paluan kompang di Anjung  Blok Perempuan pada pukul 9 malam hingga 11 malam. Tepat pukul 9 malam saya dan ahli yang lain akan turun untuk memeriahkan Kampung E. Saya telah mengikuti Kelab tersebut sejak saya tahun 1 dan ramai lagi rakan yang lain menyertai kelab tersebut. Kami semua dalam kelab ini sudah seperti adik-beradik kerana tanpa mengira junior atau senior. Kami juga mempunyai komunikasi dan interaksi yang baik antara satu sama lain setiap kali perjumpaan untuk latihan. Apabila bersama mereka segala tekanan dengan tugasan-tugasan dapat dilupakan seketika apabila kami semua memalu kompang. Nama Gema Pawana sesuai dengan suasana yang begitu meriah dan cukup membuatkan semua penghuni asyik mendengar paluannya. Kelab ini ditubuhkan bagi mengasah bakat-bakat siswa siswi dalam bermain kompang malah kelab ini juga telah mengikuti pelbagai program di Universiti Malaysia Sabah (UMS). Kelab ini juga telah menaikkan nama Kolej  antaranya ketika Program Serat Salam Talk, 1 Malaysia yang telah dihadiri oleh golongan VIP yang telah diiringi oleh ahli gema pawana sebagai tanda sambutan. Selain itu, Kelab Gema Pawana juga telah memeriahkan Tamu Gadang 2011 di UMS ketika Majlis Konvokesyen di UMS 2011.

 By: Nur Hawani Binti Ya'kob (BC12110124)



SUASANA BERAYA DI UNIVERSITI MALAYSIA SABAH

Pada 15 Oktober yang lalu umat Islam di seluruh dunia telah menyambut Hari Raya Aidiladha ataupun lebih dikenali sebagai hari raya korban bagi rakyat Malaysia. Hari raya Aidiladha ataupun hari raya haji merupakan hari di mana umat Islam akan menyembelih binatang ternakan seperti lembu, kambing dan unta sebagai mengingati peristiwa Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail.
            Pada hari Khamis bersamaan 17 Oktober 2013 telah diadakan satu majlis penyembelihan lembu ataupun dikenali sebagai sembelihan binatang korban yang bertempat di Masjid Universiti Malaysia Sabah. Sebanyak sebelas ekor lembu telah disembelih sempena hari raya haji pada tahun ini. Ramai orang yang terlibat dalam aktiviti korban ini. Suasana pada masa itu sungguh meriah dengan kehadiran ramai orang yang terlibat dalam ibadah korban ini. Orang yang tidak terlibat juga turut hadir bagi memeriahkan lagi majlis ini. Mereka turut menolong orang yang terlbat dengan majlis korban dengan menolong melapah lembu yang telah di sembelih. Saya turut tidak melepaskan peluang untuk menolong mereka dalam aktiviti tersebut. Selepas itu, kami akan membahagi-bahagikan daging korban kepada golongan yang susah. 
DARIPADA: AMIN BIN ZAHARIMAN (BC12110010)