Halaman

Isnin, 25 November 2013

LARIAN KONVO UMS 2013

UNIVERSITI MALAYSIA SABAH. 17 November 2013. Sempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang tinggal beberapa hari sahaja lagi, majlis Kepimpinan Pelajar (MPP) dengan kerjasama Pelajar Pengurusan Sains Sukan Tahun 2 dan Tahun 3 telah menganjurkan Larian Konvo UMS kelmarin sempena pengisian Tamu Gadang 2013 yang bermula 21 November ini.
Larian sejauh 7 kilometer bermula dari Padang Kawad Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) dan berakhir di Pusat Kegiatan Luar (ODEC) UMS. Seramai 240 peserta telah mengambil bahagian bagi merebut empat kategori yang dipertandingkan iaitu kategori Terbuka Lelaki, Terbuka Wanita, kategori Sekolah Terbuka Lelaki dan Sekolah Terbuka Wanita.
Bagi kategori terbuka lelaki, Ruston Masri muncul johan bagi mengetepikan pesaing terdekatnya, Frederic Herman di tempat kedua. Manakala, tempat ketiga dimiliki oleh Louis Muslin.
Kategori Terbuka Wanita pula menyaksikan Emily Singan terus gagah melangkah hingga ke garisan penamat untuk dinobatkan sebagai juara menerima RM 250 beserta medel dan hamper, sekali gus menafikan harapan Chong Vun Lung yang terpaksa berpuas hati ditempat kedua menerima RM 150 beserta medel dan hamper, disusuli Dora Suan di tempat ketiga menerima RM 80 beserta medel dan hamper.
Bagi kategori Sekolah Terbuka Lelaki pula memperlihatkan Jusli Jaiban dari Sekolah Pendidikan dan Pembangunan Sosial (SPPS) muncul johan disusuli Kenson Rubanjan dari Sekolah Psikologi dan Kerja Sosial (SPKS) di tempat kedua. Manakala tempat ketiga juga dimiliki pelajar SPKS, Samzah Lawis.
Bagi kategori Sekolah Terbuka Wanita pula menyaksikan pelajar SPKS sekali lagi mendominasi acara tersebut apabila pelajarnya, Hau Sui Chee dinobatkan sebagai juara bagi kategori berkenaan. Naib johan disandang pelajar Sekolah Perhutanan Tropika Antarabangsa (SPTA), Au Hwi Ji dan tempat ketiga dimenangi oleh Wann Huzida Roza Husin dari Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE).
Johan bagi kedua-dua kategori itu menerima hadiah wang tunai sebanyak RM150, medal dan hamper. Naib johan dan tempat ketiga pula masing-masing menerima RM100 dan RM50 berserta medal dan hamper. Atas kejuaraan yang diperoleh dalam kategori Sekolah Terbuka Lelaki sekali gus memboleh SPPS turut membawa pulang Piala Pusingan Larian Konvo 2013.

Majlis perasmian dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pengetua Kolej Kediaman CD, Dr. Mohamad Nizam Nazarudin yang mewakili Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Datuk Dr. Kasim Md. Mansur.
By: Brainiker Anak Telajan (BC12110022)



Isnin, 18 November 2013

SAMPAI BILA???

Komplek Sukan Yayasan Sabah, 16 November 2013. Aktiviti ko-kurikulum bagi kursus badminton Universiti Malaysia Sabah sesi 2012/2013 telah diadakan di Yayasan Sabah bertempat di komplek sukan pada setiap hari sabtu. Disebabkan jarak antara komplek sukan dengan kampus agak jauh maka para pelajar terpaksa menaiki bas untuk ke komplek sukan tersebut. Namun begitu, masalah bas sering menghantui fikiran pelajar Universiti Malaysia Sabah. Hal ini amat dirasai bagi pelajar kursus batminton apabila bas yang ditempah khas pada hari tersebut datang lewat dari sepatutnya. Para pelajar terpaksa menunggu agak lama dan sampai ke komplek sukan agak lewat dari biasa. Perkara ini amat membimbangkan para pelajar kerana kursus ini merupakan kursus yang penting bagi pelajar yang mengikutinya. Aktiviti yang dijalankan bagi kursus badminton sememangnya menarik kerana ianya melibatkan komitmen daripada semua pelajar. Pada hari tersebut, semua pelajar kursus badminton dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil untuk melancarkan hari kejohanan terbuka badminton yang bakal berlangsung di Dewan Kuliah Pusat 1, Universiti Malaysia Sabah. Para pelajar diberi amanah dan tanggungjawab untuk memastikan majlis yang dijalankan pada hari tersebut berjalan dengan baik dan tersusun. Kursus badminton ini sememangnya menarik dan menguji kesabaran para pelajar apabila, bas yang ditunggu tidak juga tiba. Para pelajar terpaksa menunggu selama 2 jam lebih dan akhirnya semua pelajar membuat keputusan untuk pulang ke kampus dengan berjalan kaki. Persoalannya, sampai bilakah masalah bas akan terus membelenggu pelajar di Universiti Malaysia Sabah? Dimanakah hak kami sebagai pelajar?
By: Nor Amiza Binti Abdul Wahab (BC12110102)

Sejarah Bangsa Momogun Rungus Sabah


Sebelum penjajahan kuasa-kuasa Barat, tidak wujud sejarah bertulis di kalangan bangsa Momogun Rungus di Borneo. Kisah-kisah lalu mengenai pengalaman dan kehidupan mereka wujud dalam bentuk tradisi lisan yang disampaikan turun temurun hingga ke hari ini. Tidak dapat dipastikan dengan tepat bila dan bagaimanakah kemunculan bangsa Momogun Rungus yang menghuni kepulauan Borneo amnya. Nenek moyang bangsa Momogun Rungus di Borneo dipercayai telah melalui beberapa siri migrasi sejak lebih kurang 20 ribu tahun yang lalu. Kedatangan dan pendudukan awal mereka adalah berlaku di kawasan-kawasan pantai dan tanah rendah. Lama-kelamaan, penempatan mereka mula tersebar ke kawasan-kawasan pedalaman. Andaian umum menyebut bahawa kumpulan yang terawal tersebar ke pedalaman adalah berlaku akibat daripada desakan kemunculan kumpulan pendatang baru sejak lebih kurang pada ke-15.
                          Pakar dalam bidang seni dan sejarah masih dalam proses mencari asal usul suku kaum Rungus. Menurut kajian yang dilakukan, kemungkinan besar orang Rungus berasal dari pedalaman Mongolia. Hal ini kerana terdapat persamaan antara seni budaya dan kehidupan orang-orang Mongolia dengan seni budaya orang Rungus di Sabah. Dipercayai terdapat sekumpulan manusia dari sekitar zaman Mesolotik atau Neolotik yang berimigrasi dari tanah asal. Pada zaman itu, lautan telah menjadi beku kerana iklim dunia yang sangat sejuk. Kumpulan nomad ini ialah nenek moyang Momogun Rungus yang mengembara sehingga tiba di kepulauan Borneo.
                          Masih ramai sarjana moden dari Barat enggan menerima sumber lisan penduduk pribumi sebagai sumber sejarah kerana dipercayai fakta-faktanya tidak sahih. Pegangan ini memang benar, namun sumber lisan itu memiliki nilai sejarah yang tinggi jika usaha mentafsirnya secara rasional dilakukan dengan baik. Kerap kali unsur mitos dan legenda diadunkan dalam cerita asal menyebabkan fikiran logik manusia enggan menerima dan mempercayainya.
                          Tetapi fikiran yang rasional sentiasa menimbulkan persoalan untuk memberi pertimbangan terhadap kewujudan unsur-usur fantasi dalam tradisi lisan penduduk pribumi. Pendek kata, sumber lisan itu merupakan 'tulisan atau sumber maklumat' sejarah masyarakat primitif dahulu kala, dan hari ini menjadi khazanah yang amat bernilai namun mengalami proses kepupusannya dalam arus teknologi hari ini.

                          Menurut legenda yang diceritakan dari generasi ke generasi, kononnya bangsa Momogun Rungus(tamadun nunuk ragang) ini diasaskan oleh seorang usan-usan yang dianiaya oleh saudara-saudaranya kerana dia mempunyai pelbagai kemahiran. Dia pandai membuat perangkap haiwan dan membuat senjata-senjata yang mampu melindungi masyarakatnya ketika itu. Disebabkan kemahiran yang dimilikinya, dia dianiaya. Ini menyebabkan dia dihukum bersama isteri dan orang-orangnya yang setia dengan menghanyutkan mereka ke dalam lautan. Kapal yang mereka naiki itu terdampar di kepulaun Borneo lalu mereka menuju ke Pampang Nabalu untuk tujuan keagamaan. Dia menggelarkan dirinya sebagai 'Usan-Usan' yang tiada keluarga kerana dia dianiaya oleh adik-beradiknya sendiri.
                          Selama mereka di situ, mereka terus dibangkitkan dengan semangat keagamaan berikutan penyembahan mereka kepada Lumaag Nabalu. Upacara keagamaan terus berkembang apabila mereka semakin ramai. Seorang tokoh agama yang mahir dalam hukum dan mewarisi adat istiadat dari Usan-Usan ialah Aki Bobolizan Gomburon. Disebabkan mereka semakin ramai, maka mereka merasakan bahawa adalah perlu hukum masyarakat diwartakan menurut peraturan si Usan-Usan.
                          Aki Bobolizan Gomburon menguatkuasakan Hukum Gomburon yang paling ketat iaitu kalau berzina akan dihanyutkan ke dalam air dengan memasukannya dalam bubu atau 'popok' bersama batu besar.Batu itu harus dipilih sendiri oleh si pesalah tersebut. Jika ada orang yang membunuh dengan sengaja,maka orang itu akan dihukum bunuh juga.
                          Peraturan ini terus diamalkan sehinggalah Aki Bobolizan Guraumanuk mendapat wahyu dari Lumaag Nabalu dengan menghapuskan Hukum Gomburon. Menurut wahyu tersebut, segala dosa dapat digantikan atau di bayar dengan memberi korban penebus salah iaitu "mangaraha" (korban sembelihan babi).
                          Segala dosa dapat dibayar dengan korban nyawa yang ditebus melalui pembayaran nyawa ternak. Tugas ini dilakukan oleh seorang "bobolizan" yang bermakna "tukang bayar hutang dosa dan orang tengah untuk memohon pengampunan dosa kepada Kinoringan". Itulah maksud Bobolizan yang berasal daripada perkataan "bwolzi = Beli ".Babi yang digunakan untuk membeli berkat atau membeli permohonan ampun kepada Kinoringan tidak boleh dipanggil babi (vogok, wogok).Ia harus dipanggil "BWOLZI". Bwolzi merujuk kepada peranan ternak tersebut dalam persembahan korban sebagai penebus atau pembeli semangat baru untuk pembayaran dosa.
                          Lalu bangsa momogun semakin ramai pada zaman ketuanya Aki Nunuk Ragang. Aki Nunuk Ragang adalah seorang bobolizan yang paling tersohor dalam mengembangkan ajaran agama Pagan(labus). Sebelum Aki Nunuk Ragang meninggal dunia, Aki Bobolizan Guraumanuk telah mendapat satu mesej dari Lumaag Nabalu. Mesej ini adalah satu peraturan baru di mana ketiga-tiga anak lelaki Aki Nunuk Ragang harus berhijrah ke tempat lain kerana Lumaag Nabalu mengatakan bahawa semua sungai-sungai yang mengalir dari Gunung Kinabalu sehingga ke Laut adalah milik Momogun. Oleh itu, cucu-cicit Momogun harus memilih satu tempat yang tinggi iaitu bukit atau gunung paling tinggi di mana-mana daerah yang mereka tiba kelak. Semua sungai yang mengalir ke laut dari bukit tersebut adalah tempat yang disertai semangat Lumaag Nabalu dengan mengundangnya melalui satu upacara yang disebut "MOMURINAIT" (menyebut 7 nama semangat utama yang menjaga bangsa Momogun).
                          Ajaran Aki Bobolizan Guraumanuk ini dikembangkan oleh Aki Nunuk Ragang. Segala wasiat Aki Bobolizan Guraumanuk diwartakan oleh Aki Nunuk Ragang. Tiga orang anak lelaki Aki Nunuk Ragang ialah Aki Rungsud (nenek moyang orang Rungus), Aki Longuvai (nenek moyang orang Kadazan Penampang) dan Aki Turumpok (nenek moyang semua suku kaum Dusun).
                          Aki Nunuk Ragang menghantar anaknya Aki Rungsud (anak lelaki sulung) dan Aki Longuvai (anak lelaki kedua) ke pesisir pantai dengan menguasai Pompod Tana (Kudat, Kota Marudu dan Pitas) supaya tidak dicemari oleh pencerobohan pihak Mizonvaig (orang laut). Menurut mesej yang mereka dapat melalui "Rundukan" (didatangi oleh Lumaag dan berkata-kata dalam bahasa yang tidak dapat difahami) kawasan pertemuan rahat kotonobwon (laut di sebelah barat) dan rahat kosilzahon(laut di sebelah timur) mula dicerobohi oleh pihak luar. Maka Aki Nunuk Ragang membuat keputusan untuk menguasai seluruh kawasan pesisir pantai demi menjaga keselamatan penduduk. Oleh yang demikian, rombongan yang bertanggungjawab dalam mempertahankan pesisir pantai adalah Aki Rungsud dan Aki Longuvai.
                          Aki Turumpok sebagai anak bongsu lelaki adalah sebagai Tandon Tongkob (mewarisi tempat tinggal bapanya). Sebagai Tandon Tongkob,Aki Turumpok mewarisi rumah bapa mereka. Tandon Tongkob masih wujud dalam adat orang Rungus pada masa kini. Tandon Tongkob bermaksud "isi atau penghuni yang kekal melekat dalam bilik".Maka Aki Turumpok adalah pewaris Kg. Nunuk Ragang dan menjadi ketua di sana.

                          Tidak lama kemudian, Aki Nunuk Ragang meninggal dunia lalu dikuburkan berhampiran dengan sebuah danau yang dalam. Danau itu terletak di tempat yang sekarang ini bernama Kampung Tampias di daerah Lubuk Sugut, Sandakan.Menurut legenda setelah 40 hari Aki Nunuk Ragang dikebumikan, pada hari upacara "Mongupus" tumbuhlah sejenis pokok ara di tengah-tengah kubur Aki Nunuk Ragang. Pokok ara tersebut agak berlainan kerana ia berwarna merah dan jika daunnya tercalar pokok itu akan mengeluarkan darah manusia. Lalu orang-orang Aki Nunuk Ragang menyembah pokok tersebut dan menamakannya Nunuk Ragang kerana mereka percaya pokok itu merupakan jelmaan Aki Nunuk Ragang.
Oleh: Amin Bin Zahariman (BC12110010)

Ahad, 17 November 2013

Peradaban Kampus

UNIVERSITI MALAYSIA SABAH, 11 NOVEMBER 2013.  Kalau dibicarakan mengenai peradaban di kampus, maka kita akan fokuskan pada manusianya. Manusia yang menghuni kampus, yang menggunakan kampus, yang  mengatur kampus bahkan yang berjalan-jalan melihat kampus. Kampus merupakan gedung ilmu. Oleh itu semua pekerja, tenaga pengajar dan terutama para pelajar merupakan jantung dan otak yang mengerakkan benda yang bernama kampus untuk menjadi satu mekanisme yang hidup, berdenyut dan mengalir kencang menentang zaman.

Kampus haruslah menjadi wadah proses pembelajaran bagi para akademik. Dalam proses pembelajaran inilah terletak keunikan dimana para pelajar harus menempuh proses pembelajaran terutama dalam konteks peradaban. Dalam status sedemikian, kampus mampu melahirkan mahasiswa dan mahasiswi yang beradab agar kelak jika mereka berhadapan dengan masyarakat diluar kampus, mereka akan menyebar nilai peradaban yang mereka serap di dalam kampus. Itulah yang diimpikan oleh Kerajaan yang mempunyai visi untuk melahirkan mahasiswa dan mahasiswi yang mempunyai kekuatan intelektual, mental, dan moral untuk membangun peradaban.

Namun, terdapat segelintir mahasiswa dan mahasiswi yang membuang sampah merata-rata, merokok di perhentian bas, berebut-rebut ketika menaiki bas, meninggalkan sisa makanan di atas meja kafe dan bercakap menggunakan bahasa-bahasa yang kasar. Adakah ini sikap dan perilaku yang menyumbang kearah peradaban di kampus? Sikap dan perilaku yang baik itu seharusnya telah tertanam dalam diri mereka sendiri dan akan menjadi satu nilai penting dalam menyumbang kepada peradaban di kampus. Mulakan dengan perbuatan yang kecil seperti membuang sampah di dalam tong sampah, mengelakkan merokok di tempat terbuka, saling menghormati dan memberi senyuman kepada rakan-rakan di kampus. Lama kelamaan perbuatan itu akan menjadi kebiasaan dan peradaban di kampus dapat diterapkan dalam diri setiap mahasiswa.

Marilah kita bersama-sama membangunkan peradaban di kampus kita supaya Universiti Malaysia Sabah menjadi contoh kepada masyarakat luar kerana mempunyai mahasiswa dan mahasiswi yang mempunyai nilai peradaban yang baik.

Oleh: hawani ya’kob (BC12110124)

Futsal Persahabatan

Universiti Malaysia Sabah. Pada 17 November 2013, satu perlawanan futsal telah diadakan oleh pelajar Seni Kreatif. Perlawanan futsal diantara major penulisan dan teater ini telah diadakan di stadium futsal Yayasan Sabah. Perlawanan ini bertujuan untuk merapatkan lagi hubungan sesama pelajar diantara pelajar Seni Kreatif sendiri. Perlawanan ini telah bermula pada pukul empat petang dan berakhir pada pukul lima petang. Sepanjang perlawanan semangat melawan tetap ada diantara kedua-dua pasukan. Ini kerana kedua-dua pasukan saling berbalas jaringan gol dan kemenangan berpihak kepada major penulisan. Kalah menang memang sudah menjadi adat permainan. Namun yang penting semangat kekawanan dan saling terhibur diantara para pelajar yang menyertainya. Saya sendiri yang bermain turut berasa terhibur dengan permainan pada  petang itu. Harap perlawanan persahabatan seperti ini dapat diadakan setiap hujung minggu untuk mengeratkan lagi semangat kekawanan diantara pelajar penulisan dan teater.
By: Brainiker Anak Telajan (BC12110022)








Sabtu, 9 November 2013

Hujan



Aku hanya perlukan air
Untuk membersihkan tubuh ini
Tetapi bukan dengan air mata atau pun hujan.

Hujan..
Datang menyedarkan kita
Bahawa kita perlu sedar menyedari
Sewaktu kita berada dalam kelekaan
Kerana kita hanya menanti detik
Disaat pelbagai bunyi muzik bermain difikiran
Sedang pula kaki melangkah perlahan seolah tidak bergerak
Dan datangnya hanya sekejap lalu menghilang
Dan disaat itu kita hanya mengucapkan ‘Alhamdulilah’.
By: Amin Bin Zahariman (BC12110010)







Bicara Embun


Setitik embun jatuh..
Tak pernah terfikir mengapa ia jatuh..
Sedang ia enak mendamaikan..
Bicara embun pada ketenangan..
Teguh pada kedamaian..
Juga pada keindahan..
Kelam..
Suram..
Warna-warna merah mula menerkam..
Tinggalkan kedinginan..
Diganti dengan bahang kepanasan..
Penuh kerakusan..
Meragut..merampas..
Dingin diganti kemarau panjang..
Haus dalam penantian..
Menanti embun mendinginkan semula..
Membasahi hati yang kosong dicela noda..
Embun..

                                                                   NOR AMIZA BINTI ABDUL WAHAB

                                                                   BC 12110102